Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KLB 2020 angkat seni komuniti


Tarikh kemaskini: 20/09/2019




KOTA BHARU, 20 Sept  -- Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara mengambil inisiatif mengangkat seni komuniti seluruh negara menerusi program Route To Biennale 2020 (RTB2020) yang mula dilaksanakan Ogos lepas.

Timbalan Ketua Pengarahnya Amerrudin berkata RTB2020 itu diadakan bersempena festival seni visual terbesar negara, Kuala Lumpur Biennale 2020 (KLB) kali kedua yang akan diadakan tahun hadapan dalam usaha mempopularkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan seni yang unik dan menarik.

“Program RTB2020 mula diadakan Ogos lepas bermula di Kuala Lumpur diikuti Pulau Pinang. Ia akan diteruskan di Kelantan pada 19 Okt depan bertempat di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa dan seterusnya ke lokasi lain termasuk di Muar, Pulau Langkawi, Labuan dan Kota Kinabalu,” katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan Mesyuarat Program jelajah Kuala Lumpur Biennale 2020 Zon Timur di sini,  semalam.

Katanya pada festival kedua itu pihaknya mengambil pendekatan yang inklusif dengan menjadikan kawasan tertentu sebagai lokasi program, berbeza dengan acara sebelum ini yang diadakan di premis Balai Seni Negara sahaja.

Beliau berkata perubahan itu dilakukan agar acara kali kedua itu dapat dirasai secara lebih meluas kepada seluruh lapisan masyarakat.

Amerrudin  berkata ia juga bagi memberi nilai tambah dalam mempromosikan budaya setempat dengan pelbagai program termasuk pameran, demonstrasi, aktiviti kesenian dan budaya tempatan. 

“Bagi program di Kelantan kami akan mengangkat objek dan dekorasi pada perahu kolek Kelantan sebagai fokus utama di Zon Timur. Selain itu, turut dipromosikan ialah seni persembahan dikir barat, rebana ubi dan demonstrasi pertukangan kraf,” katanya.

Beliau berkata pemeliharaan warisan dan budaya bukan hanya penting bagi mengekalkan identiti sesuatu masyarakat tetapi mempunyai potensi untuk dijadikan sumber pendapatan kepada penduduk tempatan.

Katanya kelestarian warisan seni dan budaya peringkat tempatan akan membantu memperkukuh dan memantapkan sesebuah lokasi sebagai destinasi pelancongan pilihan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel