Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

YDSM bantu 72 pelajar kategori B40 masuk ke UniSZA


Tarikh kemaskini: 19/09/2019




KUALA NERUS, 19 Sept -- Seramai 72 pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) telah diterima masuk menyambung pengajian ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)  menerusi bantuan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu dan Jabatan Kebajikan Malaysia.

"YDSM amat berharap agar peluang kedua ini dihargai dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar yang terpilih agar dapat mengubah nasib keluarga pada masa akan datang.

"Inilah keistimewaan sistem pendidikan negara kita di mana tiada siapa pun dinafikan hak untuk mendapat pendidikan yang sempurna, malah terus dibantu agar mampu berdikari seterusnya mencapai kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis program pendaftaran pelajar YDSM ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UniSZA yang turut dihadiri Naib Canselor universiti itu,  Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di sini hari ini.

Sementara itu, pelajar yang diterima masuk melalui program tersebut, Muhammad Hadi Lukman Nodin, 20, berkata hari ini adalah detik yang paling menggembirakan buat dirinya kerana tidak pernah berputus asa dalam membuat permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti selama ini.

"Ini adalah rayuan terakhir saya untuk memasuki universiti setelah gagal dalam percubaan sebelum ini. Hati siapa yang tak sedih bila melihat rakan lain semuanya berjaya ke universiti. Namun saya tidak kecewa kerana terus membuat rayuan sehinggalah dihubungi YDSM yang memaklumkan diterima ke UniSZA hasil program ini.

"Insyaallah saya akan lakukan yang terbaik dalam untuk mencapai cita-cita menjadi Pegawai Tadbir satu hari nanti," katanya yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di universiti tersebut.

Bagi Nik Nurin Syahirah Salleh, 20, pula, beliau sangat bersyukur kerana impiannya mahu menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian di UniSZA akhirnya tercapai.

"Keputusan dalam Sijil Pelajaran Malaysia biasa sahaja, jadi saya sambung pengajian ke Tingkatan Enam dan memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.25.

"Walaupun keputusan itu tidak begitu cemerlang, saya tetap memohon ke UniSZA dan tidak sangka akan terpilih masuk melalui program khas ini," katanya yang bertekad mahu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian menjadi seorang guru.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel