Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkeso Terengganu bantu kebajikan dua beradik yatim piatu


Tarikh kemaskini: 18/09/2019




KUALA TERENGGANU, 18 Sept (Bernama) -- Dua anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Mersing, Johor,  Jumaat lepas kini menjadi anak angkat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu.

Nur Syazwani Mohd Hanafi, 17, dan adiknya, Muhammad Akmal, 12,  merupakan anak kepada pasangan Mohd Hanafi Ismail, 37, dan Salimah Mohd Shafei, 40, yang maut ketika dalam perjalanan konvoi motosikal berkuasa tinggi bagi menyertai acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2019 di Johor,  minggu lepas.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata sebagai anak angkat, Skuad Prihatin Perkeso akan memantau perkembangan pembelajaran mereka terutama anak sulung pasangan itu yang akan menduduki  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

"Perkeso akan bekerjasama dengan pengurusan Sekolah Menengah Agama Khairiah bagi memastikan Nur Syazwani dapat menduduki peperiksaan itu dengan tenang dan lancar.

Begitu juga dengan adiknya yang baru sahaja menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), kita akan bantu menguruskan persekolahannya ke sekolah menengah pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM4,000 kepada dua remaja itu yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di sini hari ini.

Selain itu, Farihah berkata kedua-dua mereka juga akan menerima Faedah Pencen Penakat setiap bulan bermula 1 Okt depan sehingga berumur 21 tahun atau selepas mereka menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Sementara itu, Muhammad Akmal berkata dia dan kakaknya kini tinggal bersama datuk mereka, Mohd Shafie Mohamad, 72, di Pulau Duyong dan berazam mahu belajar bersungguh-sungguh untuk memenuhi impian kedua arwah ibu bapanya.

"Abah dan ibu selalu pesan supaya belajar rajin-rajin biar sampai jadi polis, saya akan berusaha untuk mencapai impian mereka. 

"Setiap hari bila rasa rindu, saya akan doakan abah dan ibu agar mereka tenang di sana...doa kami dapat jumpa di syurga," katanya yang sangat merindui kenangan manis setiap kali bersalam dengan kedua ibu bapanya sebelum pergi ke sekolah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel