Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jerebu: 17 sekolah sesi petang di Kulim ditutup


Tarikh kemaskini: 18/09/2019





ALOR SETAR, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 17 sekolah sesi pembelajaran petang di Kulim ditutup hari ini berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada 205, dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, setakat 3 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Dr Salmee Said dalam kenyataan berkata penutupan itu melibatkan enam sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan 11 sekolah kebangsaan (SK).

“Sekolah sesi pagi telah selesai pada pukul 2 petang tadi, jadi untuk hari ini hanya sekolah sesi petang yang ditutup. Bagi sesi persekolahan esok, pengumuman rasmi akan dibuat oleh JPN (Jabatan Pelajaran Negeri) pada pukul 5 petang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri Simon Ooi Tze Min berkata pihaknya memantau serius situasi jerebu di negeri ini sebelum mengeluarkan sebarang arahan.

“Berikutan keadaan jerebu ini, saya harap golongan petani tidak melakukan pembakaran jerami padi. Kami faham masa ini adalah musim menuai dan aktiviti pembakaran jerami dilakukan sebelum proses menanam padi semula tetapi kita harap mereka gunakan kaedah alternatif lain.

“Baru-baru ini, arahan Larangan Pembakaran Terbuka juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Walaupun pembakaran jerami padi dikategorikan sebagai bukan pembakaran terbuka tetapi ia tidak dibenarkan dalam tempoh ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut meminta semua pihak untuk menjaga kawasan masing-masing dengan tidak melakukan pembakaran terbuka kerana bagi kesalahan membakar sekam padi, petani boleh dikenakan kompaun berjumlah RM2,000 dan jika dihadapkan ke mahkamah boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara.

Selain Kulim, Sungai Petani turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 133 setakat 3 petang ini, sementara Alor Setar dan Langkawi masing-masing mencatatkan bacaan sederhana iaitu 75 dan 66.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel