Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki dikehendaki kes bunuh rakan sebab hutang ditahan


Tarikh kemaskini: 18/09/2019




GEORGE TOWN,18 Sept  -- Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki maut ditikam hanya kerana mangsa mahu menuntut hutang dalam kejadian berhampiran menara jam di hadapan Kompleks Bukit Jambul, di sini Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata lelaki berusia 35 tahun yang juga penagih dadah itu ditahan di sebuah kondominium di Lorong Kenari, Bayan  Lepas dekat sini kira-kira pukul 3.45 pagi hari ini.

"Berdasarkan siasatan, lelaki itu bersembunyi di kondominium tersebut namun hasil risikan dan intipan yang dijalankan polis, kami berjaya menahannya bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya di sini hari ini.

Katanya  susulan penahanan lelaki itu, polis merampas pakaian yang dipakai ketika kejadian dan telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.

Menurutnya lelaki yang mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berasal dari Balik Pulau.

Che Zaimani berkata ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah dan dia kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki maut  selepas ditikam rakannya hanya kerana mangsa mahu menuntut hutang daripada suspek  dalam kejadian berhampiran menara jam hadapan Kompleks Bukit Jambul, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, Mohamad Nurulhudin Ismail, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas ditikam di dada kanan.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa bertemu dengan lelaki itu di kawasan berkenaan untuk membincangkan masalah hutang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka sehingga  suspek berang bertindak menikam rakannya di dada sebelah kanan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel