Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPDNHEP Perak rampas hampir lima tan minyak masak


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





IPOH, 17 Sept  -- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas hampir lima tan minyak masak bersubsidi bernilai kira-kira RM12,106 dari sebuah syarikat pembungkus minyak masak dalam satu serbuan di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak V. Ravichandran berkata tindakan itu dilakukan selepas pihaknya mengesyaki terdapat penyelewengan minyak masak yang juga merupakan barang kawalan di salah satu daripada 22 syarikat pembungkus minyak yang dibenarkan dalam serbuan pukul 11 pagi tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati syarikat itu mempunyai lesen borong barang kawalan minyak masak yang sah, namun tindakan diambil kerana syarikat itu gagal menyelenggara buku stok minyak masak berkaitan mengikut peruntukan undang-undang.

"Selain menyita 4,864 kilogram minyak masak itu, kami turut merampas dokumen rekod pembelian dan penjualan minyak masak untuk siasatan lanjut kerana mengesyaki syarikat ini menjual minyak masak kepada pembeli yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran yang sah daripada pengawal bekalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya perbuatan itu diakui pemilik premis iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an, dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Ravichandran berkata pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan dan audit di seluruh negeri Perak bagi memastikan bekalan semasa mencukupi untuk kegunaan pengguna di negeri itu.

Katanya bagi negeri Perak, keseluruhan kuota subsidi minyak masak yang diperuntukan kepada semua 22 syarikat pembungkus minyak adalah 2,814 tan sebulan.

Sementara itu Ravichandran berkata KPDNHEP Perak telah menangani 1,138 kes berkaitan dengan pelbagai kesalahan perniagaan sejak awal tahun ini sehingga semalam, melibatkan rampasan barang dengan nilai berjumlah kira-kira RM1.8 juta, kompaun RM156,540 dan denda RM49,100.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel