Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APM Kedah siap siaga hadapi tengkujuh


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





KULIM, 17 Sept -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah kini sedang melakukan persiapan termasuk dari segi kesiapsiagaan anggota dan asetnya bagi menghadapi musim tengkujuh di negeri ini.

Pengarah APM Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata beberapa kawasan yang berisiko terjejas pada musim itu juga telah dikenal pasti antaranya di Kulim, Bandar Baharu, Yan dan Alor Setar selain kawasan persisiran pantai.

“Dari segi persiapan, mesyuarat bersama pihak yang berkaitan dilakukan setiap tahun terutamanya untuk menghadapi sebarang keadaan yang dijangka berlaku pada Oktober khususnya ketika musim banjir atau tengkujuh.

“Beberapa aset dan petugas APM akan diletakkan di kawasan dikenal pasti bagi memudahkan sebarang bantuan, selain itu kita juga bekerjasama dengan jabatan lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan topeng muka oleh Sekretariat Pengurusan Bencana Kedah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kulim/Bandar Baharu di sini, hari ini.

Awang Askandar berkata APM juga akan sentiasa memantau sistem pangkalan data bencana bagi membantu pihaknya untuk sentiasa waspada dengan keadaan semasa dalam menghadapi situasi tidak diduga.

Dalam pada itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Kedah telah mengedarkan sebanyak 110,000 topeng muka untuk sekolah rendah dan menengah di daerah Kulim, Kuala Muda dan Yan sebagai persediaan menghadapi jerebu yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Pegawai Daerah Kulim Mohd Yusri Md Daud berkata pengedaran topeng muka itu untuk sekolah di sekitar daerah ini dapat membantu mengelakkan murid daripada menghadapi sebarang risiko akibat jerebu.

“Kita juga kena fahamkan bukan sahaja pelajar tetapi masyarakat sekitar mengenai Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa dan tindakan yang perlu diambil, namun lebih mudah sekiranya setiap sekolah dipasang bendera berwarna contohnya hijau menunjukkan udara bersih,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel