Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Harimau kumbang muncul di Dungun


Tarikh kemaskini: 17/09/2019




KUALA TERENGGANU, 17 Sept -- Jika dua bulan lepas, rakyat Malaysia digemparkan dengan kemunculan dua ekor harimau spesies Malaya di Kampung Besul Lama dekat Bukit Besi di Dungun, kini harimau kumbang pula dilihat berlegar-legar tidak jauh dari kawasan yang sama.

Harimau kumbang terbabit ditemui berkeliaran di Taman Harmoni dekat Al Muktafi Billah Shah yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kampung Besul Lama sejak dua minggu lepas.

Seorang penduduk, Nur Mazila Mohd Salleh, 37, berkata kejadian terbaharu berlaku malam semalam yang mana beliau melihat sendiri seekor harimau kumbang berkeliaran di sekitar rumahnya, di blok H taman perumahan itu.

"Ini kali ketiga saya melihat haiwan itu dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, namun ada jiran mendakwa sudah melihat harimau itu berkeliaran sejak sebulan lepas.

"Kami memang hidup dalam ketakutan dan anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah untuk bermain seperti biasa. Kami berharap harimau ini dapat ditangkap secepat mungkin agar kami boleh menjalani kehidupan seperti biasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Nur Mazila memuat naik sekeping gambar harimau terbabit di Facebook dengan meminta bantuan untuk mendapatkan nombor telefon Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu. Bagaimanapun, status tersebut telah dipadam sebaik sahaja aduan dibuat kepada Perhilitan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malik Mohd Yusuf berkata pihaknya telah menerima aduan penduduk dan beberapa kakitangan telah pergi ke lokasi tersebut untuk memasang perangkap.

Pada masa sama, beliau menasihatkan penduduk agar terus berhati-hati dan segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan itu untuk memudahkan tindakan dibuat.

Untuk rekod, pada 19 Julai lalu, seekor harimau daripada spesies Malaya yang dianggarkan seberat 130 kilogram berjaya ditangkap kira-kira pukul 3.30 petang selepas ditembak menggunakan ubat pelali.

Haiwan yang dianggarkan berusia lima tahun itu ditangkap ketika sedang berehat di kawasan belukar sekitar 500 meter dari jalan utama Kampung Besul Lama.

Bagaimanapun, harimau berkenaan dilaporkan mati pada 23 Julai lalu ketika berada dalam rawatan dan kuarantin di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel