Pusat pemulihan dalam komuniti hangus terbakar
Tarikh kemaskini: 17/09/2019

BESUT, 17 Sept -- Sebuah pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) terbakar 90 peratus dalam kejadian awal pagi tadi di Kampung Baharu, Kuala Besut, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohamad Jusoh berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.30 pagi dan telah mengerahkan tiga jentera bersama 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut dan BBP Jertih ke lokasi kejadian.
“Kebakaran tersebut disedari penduduk sekitar 4.20 pagi sebelum bertindak menghubungi pihak bomba. Ketika bomba tiba api sedang marak dan pihak bomba bertindak menggunakan dua aliran hos air bagi mengawal dan memadam kebakaran itu.
“Buat masa sekarang, bomba masih lagi menyiasat punca kebakaran itu dan masih belum dapat menilai jumlah kerugian keseluruhan yang dihadapi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurut Mohamad, pihaknya mengambil masa lebih satu jam bagi mengawal dan memadam sepenuhnya kebakaran yang melibatkan bangunan separa kekal itu.
-- BERNAMA
|