Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai  dipilih Balai Bomba Interaktif pertama di Malaysia


Tarikh kemaskini: 16/09/2019





GEORGE TOWN, 16 Sept -- Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai di sini, yang amat tertua di negara dan masih beroperasi sejak 111 tahun lepas, dipilih sebagai Balai Bomba Interaktif pertama di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Mohammad Mentek berkata pemilihan balai itu adalah kerana lokasinya yang strategik selain terletak di bangunan yang berusia lebih 100 tahun.

"Balai ini menjadi yang pertama di Malaysia dipilih sebagai Balai Bomba Interaktif dan ini satu lagi sejarah kepada balai ini. Bermula hari ini orang ramai terutama pelancong boleh berkunjung ke sini untuk melihat lebih dekat pengoperasian pihak bomba," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai sebagai Balai Bomba Interaktif di sini, hari ini.

Satu daripada ciri ikonik bangunan balai bomba itu yang mempunyai reka bentuk struktural ialah gabungan corak arkitektural, corak klasikal yang menggabungkan corak Mughal menara empat tingkat dengan pengaruh dari era arkitek Edwardian.

Mohammad berkata, selain menjalankan tugas seperti balai bomba dan penyelamat yang lain, balai itu turut mempunyai galeri serta ruang pameran mempamerkan peralatan yang digunakan pihak bomba dalam operasi mereka sejak 100 tahun lepas.

"Galeri ini dibuka setiap hari kepada orang awam bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan masuk  percuma. Beberapa anggota dan pegawai akan membantu memberi maklumat kepada orang ramai yang datang ke balai bomba ini supaya mereka memahami tugas serta operasi pihak bomba," katanya.

Mohammad berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang turut bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan untuk menyediakan kemudahan dan menaiktaraf balai bomba itu selain mempromosikannya kepada pelancong.

Balai Bomba Interaktif itu adalah antara usaha KPKT untuk mendekatkan pihak bomba dengan masyarakat dan berharap lebih banyak lagi balai bomba di seluruh negara dapat diubah menjadi Balai Bomba Interaktif supaya orang ramai boleh melawat serta mendapatkan maklumat di situ.

Sementara itu, Mohammad berkata KPKT membelanjakan RM38 juta untuk penyelenggaraan 119 kuarters bomba di  seluruh negara dan RM12 juta untuk menaiktaraf tiga buah balai bomba iaitu di Teluk Intan, Butterworth dan Sungai Petani tahun ini.

"Selain itu, 14 buah balai bomba baharu akan dibina akhir tahun ini bagi memudahkan khidmat bantuan dilakukan dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan. Ketika ini terdapat 314 balai bomba di seluruh negara," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel