Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nelayan Terengganu masih ke laut walau cuaca jerebu


Tarikh kemaskini: 16/09/2019





KUALA TERENGGANU, 16 Sept  -- Cuaca jerebu tidak menghalang nelayan di negeri ini turun ke laut kerana memiliki peralatan keselamatan yang mencukupi, kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemasik, Abdul Ghani Ismail.

Beliau berkata selain perlu turun ke laut kerana ia memberi punca pendapatan, mereka juga mempunyai peralatan yang mencukupi serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Walaupun hasil tangkapan berkurangan sehingga 50 peratus, semangat nelayan tetap tidak terjejas dengan cuaca berjerebu, cuma kita sentiasa saling mengingatkan agar nelayan tetap mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.

"Macam saya sendiri tetap turun ke laut selepas subuh pagi walaupun hari ini cuaca jerebu di Kemaman agak teruk… yang penting sentiasa peka dengan perubahan di sekeliling dan pastikan alat keselamatan serta komunikasi berada dalam keadaan baik sebelum turun ke laut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengikut data sistem Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), hanya dua stesen bacaan di Terengganu merekodkan kualiti udara tidak sihat iaitu di Kemaman (135) dan Paka (110) pada pukul 12 tengah hari ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas dikategorikan sebagai berbahaya.

Abdul Ghani yang turun ke laut bersama empat nelayan lain menggunakan bot fiber berukuran 30 kaki itu hanya menangkap ikan di sekitar lima batu nautika dari pantai.

"Bagaimanapun, masih ada nelayan yang mencandat sotong menggunakan bot fiber lebih kecil yang berukuran 16 kaki atau 18 kaki berani turun ke laut dalam keadaan berjerebu. Semuanya atas keberanian masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, secara tradisinya, nelayan akan membuat keputusan untuk turun ke laut mengikut 'kemampuan dan keupayaan' sendiri sekiranya keadaan agak berisiko kepada mereka.

"Nelayan sedia maklum risiko yang mereka ambil sekiranya masih turun ke laut dalam keadaan tertentu seperti jerebu dan laut bergelora akibat tengkujuh. 

"Cuma saya berharap mereka pastikan Sistem Penentududukan Global (GPS) dan sistem sonar berfungsi dengan baik sebelum turun ke laut dan sentiasa berkomunikasi dengan rakan nelayan lain atau ahli keluarga bagi memastikan kedudukan dan keadaan mereka ," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel