Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pertandingan cegah dadah platform terbaik didik pelajar bahaya dadah


Tarikh kemaskini: 16/09/2019





SIK, 16 Sept  -- Pertandingan Bilik Sumber/Laluan Pendidikan Pencegahan Dadah menerusi Program Pendidikan Pencegahan Jenayah (PPDa) anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia, menjadi satu platform terbaik bagi mendidik para pelajar mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, sekali gus mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala itu.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeneri dekat sini Mazlan Ali berkata menerusinya pelajar akan mendapat pendedahan lebih terperinci berhubung kesan negatif penyalahgunaan dadah serta pelbagai jenis dadah berbahaya yang boleh merosakkan diri serta institusi kekeluargaan melalui pertandingan itu.

Beliau berkata ini kerana pihak sekolah termasuk guru dan pelajar perlu menghiasi bilik sumber PPDa itu dengan pelbagai maklumat berkaitan bahan terlarang itu serta hiasan cantik dalam usaha menarik perhatian sesiapa sahaja yang memasuki bilik itu.

"Saya harap ia dapat  menyedarkan pelajar dan masyarakat agar berusaha menjauhkan diri dari dadah kerana ia musuh utama yang akan menghancurkan masa depan diri dan negara," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Mazlan berkata SMK Jeneri terpilih mewakili Kedah pada pertandingan itu bagi peringkat kebangsaan dengan menampilkan konsep 'sejahtera' dan 'sengsara'.

Katanya konsep itu dipilih pihak sekolah untuk memberikan gambaran tentang keburukan yang dialami penagih dan kebahagian yang dikecapi jika seseorang bebas dari belenggu dadah.

"Kita nak bawa pelajar dan pengunjung menyelami bilik ini apabila masuk sahaja di ruang 'sejahtera' yang diwarnai cat biru, mereka akan rasa aman, makmur, senang, tenteram, selamat dan terpelihara dengan maklumat kerohanian, alumni sekolah dan menara gading. 

"Apabila melangkah ke ruang 'sengsara' yang siling bilik diwarnai cat merah ia menukar 'mod' kepada penderitaan, dan kesusahan yang dialami seseorang jika terjerat atau terbelenggu dengan najis dadah.

Bilik Sumber PPDa itu menjadi bilik sumber  bermaklumat berkaitan pendidikan pencegahan dadah yang boleh diakses pelajar, guru dan ibu-bapa.

Penilaian untuk pertandingan itu dijalankan selama dua bulan bermula Oktober hingga November ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel