Ox5gbeqbbUs 'Tonyoh ubi kayu' antara tarikan di Karnival Pantai Terengganu 2019
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Tonyoh ubi kayu' antara tarikan di Karnival Pantai Terengganu 2019


Tarikh kemaskini: 16/09/2019





KUALA TERENGGANU, 16 Sept  -- Lebih 20 jenis kuih tradisional Terengganu diperkenalkan sepanjang Karnival Pantai Terengganu 2019 yang berlangsung di Batu Buruk sejak Khamis lepas.

Kesemua lapan daerah di Terengganu memperkenalkan sekurang-kurangnya dua jenis kuih dan makanan tradisional seperti kuih lok lit, lempeng kelapa, emping jagung, otak-otak, nisang (manisan daripada mayang pokok kelapa), opok-opok dan lemang periuk kera.

Kuih tradisional yang mendapat sambutan hangat di kalangan pengunjung antaranya ialah kuih tonyoh ubi kayu.

Pengusaha kuih tersebut, Rohani Mohamad, 59, berkata ramai pengunjung terutama generasi muda mengakui mereka tidak pernah menikmati kuih tradisional tersebut, malah ada yang tidak pernah mendengar pun nama kuih tonyoh ubi kayu sebelum ini.

"Namun, sebaik merasa tonyoh ubi kayu ini, mereka pasti mengatakan kuih ini sedap kerana rasa lemak ubi, pemanis semulajadi dari nisang dan dimakan pula dengan parutan kelapa muda yang dicampur garam.

"Saya sendiri tak sangka sambutannya sangat memberangsangkan kerana pada mulanya saya membawa 60 kg ubi kayu sahaja, namun ia habis pada hari pertama dan sehingga hari keempat sahaja sudah melebihi 120 kg ubi kayu saya gunakan untuk jualan di bangsal ini," katanya yang mempelajari kuih tersebut daripada ibu mertuanya pada tahun 2009.

Pembuatan kuih tonyoh ubi melibatkan tiga jenis ramuan, dengan bahan utama ubi kayu disagat halus terlebih dahulu serta dikukus, dan pada masa yang sama nisang dicairkan, kelapa muda yang diparut dicampur garam sebelum semuanya digaul. 

"Pada zaman dahulu, nenek moyang kita tidak menggunakan alat penyagat seperti yang ada sekarang, sebab itu gerakan yang dilakukan untuk menghasilkan ubi kayu tersebut adalah dengan cara menonyoh sehingga ubi kayu itu halus. Dari situlah nama kuih ini diambil dan dikenali sebagai tonyoh ubi kayu," katanya yang telah menjual 600 bekas kuih tradisional itu sepanjang karnival setakat ini.

Lebih istimewa, kuih tonyoh ubi kayu yang dihasilkan Rohani telah 'menjelajah' hampir satu Malaysia melalui ekspo pelancongan seperti Beautiful Terengganu yang dianjurkan kerajaan negeri sejak 2014.

"Sebelum ini, saya hanya menjual kuih tonyoh ubi kayu ini di sekitar Besut sahaja, namun saya menyertai pertandingan makanan dan kuih tradisional anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu pada 2014 dan hasilnya kuih ini muncul juara peringkat negeri,” katanya.

Karnival Pantai Terengganu 2019 yang melabuhkan tirainya hari ini adalah program tradisi masyarakat Terengganu sejak puluhan tahun lalu, namun kerajaan negeri telah menjenamakannya semula dengan pelbagai elemen patuh syariah sebagai daya tarikan pelancong ke negeri ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel