Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

50,000 hadir Karnival Pantai Terengganu 2019 setakat hari ketiga


Tarikh kemaskini: 15/09/2019





KUALA TERENGGANU, 15 Sept -- Karnival Pantai Terengganu 2019 berjaya merekodkan kedatangan lebih 50,000 pengunjung setakat tiga hari penganjurannya hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri yakin sasaran 100,000 pengunjung akan tercapai memandangkan masih banyak acara menarik akan berlangsung sehingga karnival berakhir malam esok seperti kayuhan Malaysia Sejahtera dan Terengganu Bertanjak.

"Alhamdulillah, Kuala Terengganu dibanjiri begitu ramai pelancong dari luar sejak Jumaat lalu sempena cuti am (Hari Malaysia) esok… ramai beri maklum balas kesesakan jalan raya yang luar biasa selain tempahan hotel, resort, chalet dan unit rumah inap desa juga penuh sepanjang cuti kali ini.

"Pengunjung begitu teruja dengan pelbagai acara pelancongan diadakan di Batu Buruk kali ini, malah hasil lawatan saya ke gerai-gerai milik usahawan, mereka maklumkan jualan sangat tinggi dan telah pulang modal sejak hari pertama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan keris antik di sini hari ini.

Ariffin berkata masalah jerebu tidak menghalang orang ramai berkunjung ke karnival itu kerana mereka lebih teruja untuk menyaksikan sendiri pelbagai keunikan budaya, warisan, kesenian serta makanan tradisional yang terdapat di karnival berkenaan.

Sementara itu, johan pertandingan keris antik dimenangi juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang, Ali Mahmud, 54, melalui sebilah keris Bugis yang berusia lebih 200 tahun.

Beliau membeli keris tersebut sejak lapan tahun lalu dengan harga RM8,000 dan sejak itu keris berkenaan sering memenangi pelbagai pertandingan keris antik yang diadakan di seluruh Malaysia.

"Keunikan keris ini ialah kerana 'pakaiannya' yang disalut lapisan perak, pamor yang tersusun indah dan kesempurnaan tulang belakangnya yang dicipta dengan begitu teliti oleh pengukirnya dahulu.

"Saya akan meneruskan hobi mengumpul koleksi keris antik ini kerana ia warisan seni Melayu yang sangat bernilai untuk tatapan generasi akan datang," katanya yang mempunyai koleksi 15 bilah keris bernilai lebih RM100,000 setakat ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel