Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar


Tarikh kemaskini: 15/09/2019





MELAKA, 15 Sept -- Penduduk di negeri ini mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas berikutan keadaan berjerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat di Bandaraya Melaka di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakkan penduduk mengurangkan aktiviti di luar kawasan rumah manakala  beberapa aktiviti luar melibatkan kerajaan serta agensi swasta dibatalkan akibat keadaan jerebu yang dilihat semakin memburuk.

Penolong jurutera di sebuah jabatan kerajaan Norelinatasya Ramli,32, dari Umbai berkata berikutan keadaan jerebu itu dia membatalkan program riadah bersama keluarganya yang dirancang di Bandaraya Melaka selain keadaan itu menyebabkan batuk-batuk yang dialami menjadi semakin teruk.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sehingga menyebabkan mata berair, pedih, tekak rasa kering dan kadang kala rasa pening ketika berada di luar rumah.

"Ketika waktu menyidai pakaian pun saya tidak boleh berada di luar lebih lama, apa yang membimbangkan ialah keadaan kesihatan anak lelaki berusia lima tahun, kerana dia masih kecil jika keadaan jerebu ini berlarutan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di Bandaraya Melaka mula mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 203 pada 7 pagi tadi, dan mencatat bacaan 222 pada 12 tengah hari ini.

Nor Najmin Mohd Azhar, 32, setiausaha di sebuah jabatan kerajaan berkata keadaan jerebu itu sedikit sebanyak menjejaskan perancangan bercuti bersama keluarga kerana terpaksa menghadkan aktiviti luar.

Katanya mereka sekeluarga bercadang untuk bersiar-siar di sekitar Bandar Hilir hari ini namun keadaan berjerebu menyebabkan mereka hanya sempat melawat beberapa tempat pelancongan dan selebihnya menghabiskan masa di tempat beli belah berdekatan.

“Beberapa aktiviti yang kami rancang tergendala, tetapi ia di luar kemampuan kita dan untuk tidak menjejaskan kesihatan keluarga, kita hanya melakukan aktiviti dalam bangunan sahaja selain memakai topeng apabila berada di luar,” katanya.

Sementara itu, Nor Farhana Yaakob, 34, berkata fenomena jerebu yang kini melanda negeri ini juga memberi kesan kepada kesihatan dirinya yang juga penghidap asthma.

Katanya sejak beberapa hari lalu berikutan keadaan asap di persekitaran kawasan rumah menyebabkan dirinya kerap terkena serangan asthma ketika waktu tidur malam hingga mengalami sesak nafas sekitar 3 hingga 4 pagi.

“Pada waktu siang jika terasa penat dan sukar bernafas kita boleh gunakan inhaler, tetapi waktu tidur serangan itu datang tanpa kita sedari. Apa yang boleh dilakukan waktu ini untuk saya mencegahnya ialah kerap minum air masak, memakai topeng dan tidak keluar rumah jika tiada urusan penting,” kata petugas media itu.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel