Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu perkasa produk IKS negeri melalui T'Mart


Tarikh kemaskini: 15/09/2019





KUALA TERENGGANU, 15 Sept  -- Kerajaan Terengganu menyasarkan pembukaan lima lagi rangkaian baharu pasar mini T'Mart dalam tempoh tiga tahun ini bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang peruncitan di negeri itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata ketika ini, premis perniagaan milik kerajaan Terengganu itu sudah beroperasi di empat tempat iaitu di Kuala Terengganu, Besut, Dungun dan Kemaman.

"Untuk pembukaan baharu nanti, kita akan pilih lokasi yang sesuai berdasarkan kajian demografi yang lengkap untuk menampung permintaan pasaran dan pada masa sama memasarkan lebih banyak produk keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) di Terengganu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya melalui T'Mart, seramai 68 usahawan telah mendapat manfaat apabila dapat memasarkan lebih 120 produk mereka di pasar mini itu dan jumlahnya sentiasa bertambah dari masa ke semasa.

Selain tumpuan kepada pasar mini T'Mart di dalam Terengganu, kerajaan negeri juga terus memperkasakan perniagaan IKS negeri itu untuk pasaran Lembah Klang melalui T'Mart DC yang beroperasi di Kampung Baru Kuala Lumpur  sejak 2016. 

Antara produk yang dijual di T'Mart tersebut ialah makanan sejuk beku seperti satar ikan goreng, kuih ropa, keropok lekor dan ketupat palas yang sentiasa mendapat sambutan daripada peminat makanan asli Terengganu.

Selain itu, Nurkhuzaini berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan 42 unit kiosk T'Mart Corner  kepada golongan belia dan asnaf dalam tempoh tiga tahun lagi.

"T'Mart Corner akan memberi peluang kepada belia dan asnaf menceburi perniagaan dengan bimbingan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dan pada sama dapat meningkatkan lagi industri IKS di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel