Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tetap adakan upacara pengebumian untuk kedua ibu bapa - Anak


Tarikh kemaskini: 14/09/2019





KUANTAN, 14 Sept -- Walaupun hanya mayat mendiang emaknya ditemukan, anak kepada pasangan warga emas yang dipercayai maut dalam kebakaran besar di Sungai Lembing di sini pada 31 Ogos lepas, akan tetap mengadakan upacara pengebumian buat kedua ibu bapanya. 

Ho Poh Ling, 40, anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan Ho Yuk Fun, 74, dan Chow Kim Mui, 70, berkata keputusan itu dibuat sebulat suara kerana mereka telah menerima ketentuan takdir. 

"Kami tahu ibu bapa kami tidak berjaya diselamatkan kerana kebakaran yang berlaku amat besar. Tambahan pula, sehingga kini ayah masih belum ditemui jika benar beliau selamat. 

"Upacara pengebumian akan dilakukan dalam masa terdekat kerana kejadian sudah berlaku dua minggu. Kami mahu melakukan upacara ini dengan baik dan sempurna untuk kedua orang tua kami," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Poh Ling ditemui di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing di sini hari ini, antara mangsa yang menerima ziarah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Tunku Azizah juga dilihat tidak dapat menahan air mata semasa memeluk Poh Ling ketika menzahirkan ucapan simpati kepadanya, menyebabkan wanita itu yang tenang pada awalnya juga menangis teresak-esak. 

Terdahulu, Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan hari ini mengesahkan ujian DNA  yang dijalankan Jabatan Kimia Petaling Jaya terhadap spesimen tulang yang ditemukan pada kebakaran besar Sungai Lembing pada 31 Ogos itu sebagai mayat Chow.

Pada kejadian 1.30 pagi, 31 Ogos, Ho dan Chow dipercayai maut dalam kebakaran yang melibatkan 32 bangunan meliputi 20 rumah kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan yang dipercayai berpunca dari rumah pasangan itu. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel