Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bantu mudah urusan mangsa bina semula rumah - Agong


Tarikh kemaskini: 14/09/2019





KUANTAN, 14 Sept -- Semua pihak terlibat digesa membantu memudahkan urusan mangsa kebakaran besar Sungai Lembing di sini, untuk membina semula rumah mereka, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Baginda bertitah setakat ini, baginda disembah maklum bahawa kebanyakan mangsa menumpang di rumah anak atau saudara buat masa ini, dengan satu atau dua keluarga tidak mempunyai tempat lain untuk dituju. 

"Saya harap keutamaan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan perumahan. Saya berharap penghuni di sini juga dapat membuat persiapan dan berbincang dengan pihak berkuasa dalam urusan ini. 

"Saya dimaklumkan bangunan yang ada di sini adalah usang dan lama...keadaan ini mungkin ada bahayanya dan saya mahu perkara ini juga diberikan perhatian sewajarnya kerana berisiko menyebabkan kehilangan nyawa. 

"Saya harap pihak terlibat berbincang dan penghuni harus membuat persiapan serta berbincang dengan pihak berkuasa supaya dapat mencari tempat alternatif kerana kawasan ini nampak tertinggal...mungkin berbahaya," titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa mencemar duli menziarah dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa kebakaran yang terdiri daripada 29 keluarga di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing di sini, hari ini. 

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut mengiringi baginda berdua ialah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. 

Al-Sultan Abdullah yang turut mencemar duli meninjau lokasi kejadian seterusnya memberi jaminan bahawa baginda akan mengambil berat dan mengawasi tindakan dan pembangunan semula kawasan terlibat. 

Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah bantuan terhadap mangsa juga tidak seharusnya hanya datang daripada kerajaan, sebaliknya pertolongan pihak persendirian dan swasta dalam bentuk kewangan, tenaga dan peralatan juga amat dialu-alukan. 

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang tampil membantu sewaktu kebakaran khususnya kepada bomba dan polis. Saya juga berasa simpati dengan kehilangan sepasang suami isteri warga emas akibat kejadian ini dan saya harapkan keluarga terlibat dapat bersabar," titah baginda. 

Dalam kejadian 1.30 pagi, 31 Ogos lepas, sebanyak 32 premis bangunan di Sungai Lembing terdiri daripada 20 kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan terbakar, namun setakat ini punca kejadian masih belum dipastikan. 

Kejadian itu juga menyebabkan dua pasangan suami isteri warga emas, Ho Yuk Fun, 74, dan Chow Kim Mui, 70, maut, selepas terperangkap dalam rumah kedai dua tingkat mereka, yang difahamkan lokasi pertama kebakaran berlaku. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel