Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PTPTN Kelantan catat kutipan deposit SSPN RM165 juta


Tarikh kemaskini: 14/09/2019





KOTA BHARU, 14 Sept -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) negeri Kelantan mencatat kutipan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM165 juta sehingga Julai lalu melibatkan 313,628 akaun yang dibuka.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, semenjak skim ini dilancarkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat. 

“Walaupun kesedaran itu ada, namun pada masa yang sama saya juga menyeru agar ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan memulakan langkah penabungan segera demi pendidikan tinggi anak masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah SSPN 2019 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Datu’ Hashim, Pengkalan Chepa di sini hari ini. 

Hadir sama, Penasihat Program Jelajah SSPN negeri Datuk Kamarudin Md Nor, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Abu Hanipah@Fauzi Zahari dan guru besar SK Datu’ Hashim, Hamidah Che Abd Hamid.

Program jelajah SSPN 2019 yang bermula pada 3 Ogos lalu akan berakhir pada 29 Sept ini yang melibatkan 12 lokasi di Semenanjung , 11 lokasi di Sabah dan 10 lokasi di Sarawak. 

Wan Saiful berkata, melalui program jelajah ini juga PTPTN turut memberikan sumbangan simpanan akaun SSPN kepada 560 anak asnaf melibatkan 14 kawasan parlimen seluruh negeri ini melalui peruntukan zakat PTPTN sebanyak RM56,000. 

“Setiap pelajar akan menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN yang dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama dengan JPN Kelantan, sebagai satu bentuk galakan untuk golongan asnaf yang terlibat untuk memulakan penabungan,” katanya. 

Katanya, bagi golongan asnaf dan berpendapatan rendah juga terdapat satu keistimewaan yang diberikan iaitu geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi bagi mereka yang layak. 

“Insentif geran sepadan ini memberi manfaat yang besar dan membantu mereka dalam golongan berpendapatan rendah (B40)  yang menyimpan  dalam SSPN, dan anak diterima dan mendaftar di institusi pengajian tinggi, kerajaan akan beri secara percuma jumlah yang sepadan dengan simpanan mengikut tempoh simpanan yang dibuat mereka,” katanya. 

Sementara itu, Kamarudin berkata Skim SSPN yang diwujudkan oleh kerajaan ini mempunyai pelbagai keistimewaan dan paling utama ia adalah patuh syariah. 

“Kadar dividen yang diberikan juga adalah kompetitif berbanding simpanan di institusi kewangan lain, selain skim ini diberikan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun kepada ibu bapa yang membuat simpanan,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel