Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

NAFAS berhasrat wujud estet padi


Tarikh kemaskini: 14/09/2019





MARAN, 14 Sept -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berhasrat mewujudkan estet padi yang dapat membantu peladang meningkatkan pendapatan dan menambah pengeluaran beras negara untuk jangka masa panjang.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarahnya Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata pelan perniagaan berhubung perkara itu kini sedang dalam proses penyediaan dan ia dijangka dapat direalisasikan pada tahun hadapan. 

"Untuk peringkat awal, NAFAS merancang mewujudkan estet ini di Kedah dan Kelantan, dengan cara pemilik sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menggabungkan sawah bersaiz kecil.

"Kita akan pilih kawasan yang sesuai dan berharap dapat kerjasama pemilik sawah, yang mana mereka boleh memilih untuk bekerja di bawah seliaan kita atau menyerahkan pengurusan sawah kepada NAFAS untuk dilaksanakan dengan lebih cekap," katanya.

Phahrolrazi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kasih Peladang Pahang di Akademi Usahawan Tani Pahang di Kampung Awah di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LLP) Dr Hamzah Jaafar dan Pengurus Besar NAFAS Ahmad Shaari.

Pada program itu, seramai 500 golongan asnaf peladang dan setempat menerima sumbangan zakat perniagaan NAFAS berjumlah RM100,000 yang merupakan siri keempat daripada 10 program, dengan jumlah keseluruhan penerima zakat seramai 4,300 orang.

Phahrolrazi berkata NAFAS juga  memberi jaminan pemilik sawah akan memperoleh pendapatan yang lebih banyak apabila terlibat dalam pelaksanaan estet padi berbanding dengan mengusahakannya secara bersendirian.

"Untuk menjadikan pengurusan sesuatu sawah padi itu lebih ekonomi, ia perlu sekurang-kurangnya seluas lima hektar.

"Subsidi kerajaan dari aspek baja dan sebagainya akan diteruskan dalam pelaksanaan estet ini dan kita juga mahu peladang terlibat secara lebih holistik termasuk penggunaan jentera bagi menuai dan pengilangan padi," katanya.

Mengenai keahlian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Phahrolrazi berkata NAFAS menyasarkan jumlahnya meningkat kepada lebih satu juta berbanding 960,000 kerana sebagai ahli, mereka akan memperoleh banyak manfaat termasuk kursus kemahiran secara percuma dan geran daripada kerajaan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel