Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua masjid, 13 rumah terjejas akibat angin kencang di Petagas


Tarikh kemaskini: 13/09/2019





KOTA KINABALU, 13 Sept -- Dua buah masjid dan 13 buah rumah terjejas teruk, ekoran angin kencang yang melanda kawasan Petagas, Putatan dekat sini, tengah malam tadi.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Uda Sulai berkata, dua masjid yang terlibat adalah Masjid Nur Al Jannah di Kampung Petagas dan Masjid Al Mahabbah, Kampung Muhibbah, Petagas.

“Tiga belas  buah rumah yang  terjejas mengalami  kerosakan bumbung yang diterbangkan angin kencang, dua masjid tersebut turut mengalami keadaan serupa,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke rumah-rumah yang terjejas, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah berkata satu laporan terperinci akan disediakan mengenal pasti kerosakan, sebelum memberikan bantuan susulan.

Uda berkata angin kencang melanda daerah berkenaan pukul 12 tengah malam tadi, menyebabkan  banyak kerosakan berlaku.

"Saya telah melawat kesemua mangsa termasuk masjid, bersama pegawai berkenaan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Jabatan Kebajikan dan kini saya sedang membuat laporan terperinci untuk menyediakan bantuan-bantuan yang diperlukan," katanya.

Bagaimanapun Uda berkata sehingga kini, tiada mangsa yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS), namun pihaknya akan terus memantau keadaan berkenaan dari semasa ke semasa.

"Saya berharap semua mangsa yang terjejas dalam bencana ini supaya bersabar dan redha, menerima keadaan ini, kerana ini kehendak ditentukan Allah SWT,” tambahnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel