Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

44 lakaran Rukun Negara dipamer di Jejantas Sungai Buloh


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Idea kreatif pelajar dari lima sekolah yang mencipta lakaran Rukun Negara mendapat pengiktirafan apabila hasil karya mereka kini dipamerkan di Galeri Jejantas Sungai Buloh.

Menerusi Pertandingan Lakaran Rukun Negara anjuran Plus Malaysia Bhd (PLUS), sebanyak 50 lakaran pelajar disenarai pendek daripada 1,000 penyertaan yang diterima sejak 30 Ogos lepas.

Namun, hanya 44 lakaran yang dapat dipaparkan di sepanjang restoran jejantas itu kerana ruang yang terhad, manakala baki enam lakaran akan dibawa pada hari pengumuman pemenang pada 10 Okt depan.

Pengurus Perniagaan Wilayah Tengah PLUS, Husni Md Yusuf berkata pertandingan diadakan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 itu memberi peluang kepada pelajar untuk menceritakan pemahaman mereka terhadap Rukun Negara menerusi visual lakaran.

"Seperti apa diajar di sekolah mengenai semangat cintakan negara, pertandingan ini dapat menyemai nilai-nilai yang terdapat dalam Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

"Kami bukan sahaja menggalakkan peserta mempamerkan seni kreatif mereka, malah menerusi pertandingan ini, pelajar dapat memahami dan menjiwai lebih dekat Rukun Negara dalam hati mereka," katanya pada majlis pelancaran pameran lakaran itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Sungai Buloh hari ini.

Menurut Husni, lakaran tersebut dipamerkan bermula hari ini sehingga pertengahan Disember depan untuk dipertontonkan kepada pelanggan yang singgah di kawasan R&R itu.

Pertandingan tersebut disertai murid tahun empat hingga enam dari lima sekolah berhampiran dengan jajaran lebuh raya kendalian PLUS itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa, Rawang; SK Seksyen 7, Bangi; SK Slim River, Perak; SK Dato Kelana Tapah, Perak; dan SK Payamas, Johor.

Proses pemarkahan akan terbahagi kepada dua, 60 peratus daripada juri profesional dari Balai Seni Lukis Negara dan Arkib Negara Malaysia, manakala 40 peratus daripada undian di laman Facebook PLUS.

Pemenang utama bakal menerima RM2,000 dan RM5,000 insentif akan diberi kepada pihak sekolah berkenaan.

Bagi peringkat sekolah, pemenang utama akan menerima RM1,000, RM800 (tempat kedua), RM500 (ketiga), RM300 (keempat) dan RM150 (kelima) sementara RM50 bagi lima pemenang sagu hati.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel