Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peniaga dakwa ditipu pihak pengurusan medan selera di Alor Setar


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





ALOR SETAR, 12 Sept -- Sebahagian peniaga di medan selera di Jalan Sultan Badlishah di sini, merayu kepada pihak pengurusan supaya mengembalikan wang deposit sewa gerai mereka setelah menghentikan operasi sejak beberapa bulan lalu.

Seorang peniaga, Norazlina Zahari, 47, mendakwa para peniaga bertindak demikian selepas rasa tertipu dengan pihak pengurusan yang menaikkan kadar sewa baharu sebanyak RM20 sehari bermula Julai lepas, yang didakwa melanggar syarat perjajian sebelum ini hingga membebankan mereka.

"Jika ikut perjanjian, kadar sewa yang dikenakan sejak Jan lalu adalah sebanyak RM350 sebulan, termasuk bil air dan elektrik selama dua tahun... tetapi bermula Julai mereka naikkan RM20 sehari dan kami rasa tak mampu untuk bayar sebanyak RM600 sebulan dan menghentikan perniagaan kami.

"Kami cukup terkilan kerana tidak sampai setahun pihak pengurusan telah naikkan kadar sewa dan apabila kami minta kembalikan wang deposit sebanyak RM1,600, mereka enggan kembalikan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Norazlina yang juga seorang orang kelainan upaya (OKU) fizikal berkata,  dia sangat memerlukan wang deposit itu untuk memulakan perniagaan lain bagi menyara keluarga dan ekoran kejadian itu dia telah membuat laporan kepada pihak berkuasa pada hujung bulan lepas.

Kekesalan sama turut dikongsi Kalsum Halim, 55, yang mendakwa dia membayar wang deposit sebanyak RM1,800 dan hanya sempat berniaga beberapa minggu di medan itu pada Januari lalu memandangkan medan selera tersebut tidak mendapat sambutan.

“Bukan sahaja tidak kembalikan wang deposit, malah menekan kami dengan denda sebanyak RM50 sehari kerana tidak berniaga beberapa bulan," dakwanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi medan selera itu, Mohd Bahij Abu Bakar ketika ditemui berkata beliau sudah dihubungi oleh pihak polis yang memintanya mengembalikan wang deposit peniaga, namun tidak berbuat demikian kerana mahu peniaga terus beroperasi sehingga duit deposit itu 'hangus'.

"Peniaga salah faham sebenarnya kenaikan kadar sewa baharu RM20 itu hanya cadangan, jadi mereka boleh teruskan berniaga dan bayar kadar asal sebanyak RM300 sebulan tetapi mereka telah berhenti berniaga kerana kurang sambutan dan minta wang deposit ini, tentunya kita  tidak akan kembalikan sehingga duit itu hangus," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel