Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada aduan makanan Food Bank Malaysia tidak berkualiti - Saifuddin


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





PUTRAJAYA, 12 Sept -- Lebih 650 tan makanan diagih kepada 238,000 penerima di bawah program Food Bank Malaysia sejak program itu dilaksanakan Ogos tahun lepas, dan setakat ini tidak ada sebarang aduan dilaporkan mengenai bekalan makanan yang diagihkan tidak berkualiti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program berkenaan sangat mementingkan kualiti makanan, di mana pengendalinya sentiasa lakukan penyisihan antara makanan baik dan kurang baik.

"Saya harap disiplin ini terus kekal dan menjadi keutamaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 14 unit trak pendingin kepada Yayasan Food Bank Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata 14 trak pendingin yang tiap satu boleh memuatkan satu tan barang makanan itu diperoleh menerusi peruntukan RM3 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini bagi kemudahan mengangkut barang-barang makanan dari pembekal untuk diagihkan di bawah program Food Bank Malaysia.

Sementara itu Saifuddin berkata penurunan harga barang di pasaran banyak dipengaruh faktor permintaan serta bekalan, selain harga barang asas yang jatuh, dan tiada pihak yang dapat mengesahkan bahawa harga barang turun kerana tindakan boikot atau kempen yang digerakkan sesetengah pihak.

"Contohnya jika harga minyak masak turun, sebenarnya turun atau naik harga bergantung kepada kuasa pasaran, kalau sumber utamanya itu (minyak sawit) jatuh harga, harga runcit juga akan jatuh; ataupun jika permintaan banyak - jadi ia bergantung permintaan dan pembekalan, itu teori ekonomi asas. Jadi kita tidak mahu kaitkan dengan boikot, sebab setakat ini tidak ada siapa boleh sahkan," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata permintaan sesetengah ahli parti yang ingin berjumpa Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar mesyuarat adalah budaya yang tidak sihat.

"Anwar mesti teratas dalam segalanya, beliau mesti diterima sebagai presiden parti dan parti itu pula bilangan terbesar kerusi dalam kerajaan hari ini, lebih baik kita hormati kedudukan itu," katanya mengulas tindakan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang bertegas mahu berjumpa dengan Anwar dan pemimpin parti yang dipilih sahaja.

Zuraida sebelum ini menghantar tiga pucuk surat kepada Anwar untuk mengadakan pertemuan perdamaian, namun mendakwa ia tidak dibalas, menyebabkan beliau tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Anwar kemudiannya menjelaskan bahawa pihaknya sudah membalas satu daripada tiga surat itu manakala dua lagi surat lagi akan dibalas oleh Saifuddin.

Saifuddin berkata semua surat semua telahpun dijawab dan jadual mesyuarat biro politik juga turut dikepilkan bersama.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel