Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

CUEPACS minta kerajaan kekalkan skim pencen


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





KOTA BHARU, 12 Sept -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengekalkan skim pencen perkhidmatan awam, sebagai jaminan masa depan pekerja dalam sektor terlibat selepas bersara nanti.

Timbalan Presidennya, Zainal Ismail berkata, buat masa sekarang skim pencen yang dilaksanakan kepada semua penjawat awam yang terlibat, dilihat bersesuaian dan wajar diteruskan.

“Kita harap kerajaan dapat mengekalkan skim pencen ini, memandangkan ianya hak mutlak bagi kakitangan kerajaan, sepertimana ianya termaktub dalam perlembagaan persekutuan, dan sepatutnya tidak menjadi perkara yang berbangkit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Siri 3 Tahun 2019 peringkat negeri di Kelantan Trade Center, Kota Bharu.

Kursus  selama dua hari itu melibatkan seramai 72 kakitangan kerajaan membabitkan 22 agensi di seluruh negeri ini bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan agensi atau jabatan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Zainal berkata, skim pencen yang dilaksanakan selama ini diibaratkan seperti sumbangan ikhlas kerajaan bagi mengenang jasa penjawat kakitangan awam yang terlibat untuk menghabiskan waktu persaraan dalam kehidupan yang selesa. 

“Sedikit sebanyak skim ini dapat membantu perbelanjaan rawatan kakitangan awam selepas bersara selain perbelanjaan persekolahan anak-anak yang belum selesai, malah dapat membantu selesaikan hutang piutang yang ada.

“Pencen yang diperolehi ini bukan digunakan untuk bermewah, sebaliknya hanya untuk kehidupan yang selesa bersama keluarga selepas bersara kelak,”katanya. 

Terdahulu, akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan penjawat awam tidak tertindas susulan cadangan menghentikan skim pencen kakitangan awam.

Dengan jumlah penjawat awam yang semakin meningkat dan jumlah gaji yang lebih tinggi, kerajaan bimbang tidak mampu menampung beban bagi bayaran pencen penjawat awam.

Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, pihaknya mencadangkan supaya pihak kerajaan bekerjasama dengan CUEPACS dan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mencari jalan bagaimana kakitangan awam boleh dilindungi dengan Skim PERKESO.

"Ini disebabkan jika berlaku kemalangan dan kematian, kakitangan hanya diberikan pampasan Skim Ex-Gratia. 

"Ex-Gratia bukan skim perlindungan, sebaliknya  tabung yang diwujudkan Kementerian Kewangan dan yang menyedihkan apabila berlaku kemalangan, tindakan yang dibuat skim pampasan ini mengambil masa yang lama dan mungkin waris yang terbabit terdesak untuk mendapatkan bantuan segera," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel