Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jerebu: dua lagi sekolah ditutup di Selangor


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





SHAH ALAM, 12 Sept -- Dua lagi sekolah di sekitar Johan Setia, Klang dekat sini diarah tutup serta merta berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu masih melebihi tahap 200 iaitu kategori sangat tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS) dalam satu kenyataan hari ini berkata sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naga dan SK Kampung Pendamar yang mana kedua-duanya berada dalam radius bacaan IPU sangat tidak sihat.

Tiga sekolah diarah tutup serta merta pagi tadi ekoran bacaan IPU melebihi 200 iaitu SK Jalan Kebun, SK Kampung Johan Setia dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

Menurut JPS, mana-mana sekolah di negeri ini yang mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak pentadbiran perlu mengambil tindakan seperti mana dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1/2019 dengan menutup institusi itu serta merta sehingga keadaan kembali pulih.

“Penutupan sekolah tidak menjejaskan pelaksanaan semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam dan akan diteruskan seperti dijadualkan.

“Semua sekolah terlibat diingatkan supaya merujuk kepada Surat Siaran KPM berkaitan perkara ini dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan dalam surat siaran tersebut,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, senarai sekolah yang diarah tutup akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 4 petang, bacaan IPU di Johan Setia adalah 200, Shah Alam (129), Klang (127), Banting (111), Petaling Jaya (121) dan Kuala Selangor (133).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel