Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Imigresen tahan dua dalang bawa masuk etnik Rohingya ke dalam negara secara haram


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





KANGAR, 12 Sept -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis menahan dua lelaki yang dipercayai menjadi dalang kegiatan membawa masuk etnik Rohingya ke dalam negara secara haram, dalam serbuan di sebuah jeti haram di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, semalam.

Pengarah JIM Perlis, Basri Othman berkata seorang daripadanya adalah tekong warganegara Thailand yang dikenali sebagai 'Mid Gajah', manakala seorang lagi warga tempatan yang dipercayai orang kanan tekong itu dikenali sebagai 'Mubin', dan kedua-dua mereka ditahan dalam serbuan pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

Beliau berkata turut ditahan dalam serbuan itu adalah dua lelaki pendatang asing yang dipercayai rakyat Myanmar, dan menurutnya mereka dipercayai telah menjalankan kegiatan menyeludup etnik Rohingya sejak beberapa bulan lepas.

Katanya keadaan mereka yang mencurigakan itu dikesan ketika cuba untuk turun daripada sebuah bot pancung, di jeti berkenaan, dipercayai selepas berlayar dari negara jiran, dan Mid Gajah didapati masuk ke dalam negara menggunakan pas sempadan yang tidak disahkan oleh Imigresen manakala Mubin memiliki kad pengenalan yang sah.

“Kita percaya Mubin bertindak sebagai individu yang memudahkan kemasukkan pendatang asing ke negara ini,” katanya dalam persidangan media di sini, hari ini.

Menurut Basri, mereka menggunakan bot pancung yang boleh melalui kawasan perairan cetek kerana bot-bot penguatkuasa sukar untuk ke kawasan berkenaan, dan bot pancung itu juga kelihatan seakan-akan bot nelayan.

“Mereka akan lakukan kegiatan itu pada awal pagi dan ketika air surut. Jadi bot penguatkuasa sukar untuk kejar dan mereka akan lari ke kawasan atau pulau-pulau berhampiran sekiranya pergerakkan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati, mereka dibayar sekitar RM1,500 hingga RM2,000 bagi satu perjalanan untuk membawa masuk pendatang asing ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel