Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis buru saki baki anggota sindiket jual sijil lahir, Mykad


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





GEORGE TOWN, 12 Sept (Bernama) -- Polis sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan (Mykad) secara tidak sah, dipercayai didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasegaran hari ini berkata masih terdapat lagi saki baki anggota sindiket tersebut yang dipercayai masih bersembunyi ketika ini dan siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan. 

"Walaupun enam orang, termasuk pegawai kanan JPN yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan telah didakwa di mahkamah hari ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan kerana kami percaya masih terdapat lagi anggota sindiket berkenaan.

“Polis juga sedang mengesan pembeli Mykad dan sijil kelahiran daripada sindiket tersebut dan meminta mereka yang pernah membeli (dokumen-dokumen pengenalan ini) untuk tampil membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran E-Bicycle dan Penugasan Strategik Unit Polis Pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini.

Beliau mengulas berhubung penahanan 20 individu termasuk seorang pegawai kanan JPN yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata suspek yang ditahan di Pulau Pinang 19 Ogos lepas, terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

Sementara itu, Narenasegaran berkata Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil masa lebih tiga bulan untuk menjalankan risikan serta siasatan berhubung kegiatan tersebut sebelum berjaya membongkar sindiket berkenaan.

Menurutnya pihaknya juga masih menyiasat sejak bila dan berapa banyak Mykad dan sijil kelahiran yang telah dijual kepada warga asing oleh sindiket berkenaan.

"Sindiket itu mengenakan bayaran yang tinggi iaitu bermula antara RM100,000 hingga RM600,000 daripada warga asing yang ingin memiliki MyKad atau sijil kelahiran berkenaan dan kami percaya kegiatan mereka (sindiket) sangat teliti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel