Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kumpulan Midi aktif mencuri motosikal tumpas


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





TAIPING, 12 Sep -- Satu kumpulan yang aktif mencuri motosikal di sini selain Kuala Kangsar dan Kerian dikenali sebagai Kumpulan Midi tumpas dengan tertangkapnya ketua dan anggota kumpulan itu dalam beberapa serbuan sejak awal bulan ini. 

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata kumpulan tersebut yang dianggotai 12 lelaki berumur antara 21 hingga 47 tahun berjaya ditahan dalam serbuan di sekitar bandar ini mulai 7 Sept hingga semalam.

Katanya pasukan khas Ops Lejang Khas Geng Midi yang ditubuhkan membuat beberapa serbuan berasingan di sekitar Taiping susulan kes kecurian motosikal mencecah nilai RM30,000.

“Dalam serbuan itu polis berjaya merampas beberapa barangan antaranya lima motosikal, tiga rangka motosikal, sepanar dan sebuah mesin mencanai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Osman berkata modus operandi kumpulan itu yang aktif sejak awal tahun ini dan terbabit 18 kes sejak Februari lalu adalah menyasarkan motosikal di surau, pagar rumah tidak berkunci atau yang ditinggalkan di kawasan sunyi.

"Motosikal yang dicuri dijual dengan harga antara RM300 hingga RM400 sebuah dengan tujuan untuk membeli dadah kerana semua mereka terbabit dengan dadah," kata Osman. 

Katanya semua yang ditahan direman sehingga 14 Sept bagi membantu siasatan kes  mengikut Seksyen  379 Kanun Keseksaan

Dalam perkembangan lain, Osman berkata polis juga telah menumpaskan satu kumpulan pecah rumah dikenali sebagai ‘Kumpulan Krishnamoorty’ yang aktif sejak awal tahun ini dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk ketuanya dipanggil Krishnamoorty berumur 35 tahun di Taiping Golf Resort, Kamunting pada pukul 2.30  petang, 21 Julai lalu.

Osman berkata hasil siasatan Krishnamoorty telah membawa polis ke sebuah rumah di Taman Desa Jaya 1 dan berjaya menahan dua lelaki anggota kumpulan itu dikenali sebagai Rasul dan Kartik.

“Pemerikaan di rumah itu polis menemukan beberapa barangan hasil pecah rumah seperti sebuah almari kain, dua buah peti sejuk, alat pemain cakera (DVD) dan sebuah mesin blower yang semuanya dianggar mencecah RM30,000,” katanya.

Osman berkata semua suspek berumur 29 hingga 35 tahun direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 sehingga 17 Sep ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel