Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anak Malaysia menari di pentas Festival Tarian Dunia 2019 di Cheonan, Korea


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Seramai 26 anak muda dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menggalas cabaran untuk mengangkat budaya dan identiti negara di Festival Tarian Dunia 2019 yang akan berlangsung di Cheonan, Korea, hujung bulan ini.

Pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI yang mewakili Malaysia bakal berdepan dengan peserta dari 17 negara lain yang bertanding di festival bertaraf dunia itu yang akan berlangsung pada 23 Sept hingga 1 Okt ini.   

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik pada sidang media bagi mengumumkan penyertaan pelajar berkenaan berkata peluang itu harus diambil sebagai cabaran untuk semua peserta membawa pulang kemenangan untuk negara. 

"Serlahkan kehebatan negara di mata dunia dan buktikan bahawa kita boleh lahirkan pemenang. Kita mampu mencapai dan melebarkan sayap ke mercu dunia setanding dengan pencapaian negara lain," katanya. 

Festival Tarian Dunia 2019 itu merupakan antara festival antarabangsa terbesar dan antara 10 terbaik yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea dan menarik penyertaan kira-kira 5,500 penari dari seluruh dunia. 

Festival itu juga merupakan platfom untuk untuk meraikan peserta dari seluruh dunia dengan kepelbagaian, budaya dan keunikan melalui aktiviti seni dan budaya. 

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI Prof Madya Mohd Kipli Abdul Rahman berkata pemilihan kumpulan pelajar berkenaan adalah berikutan kemenangan mereka di Festival World of Colours (FESCO) 2018 .

Menurut Mohd Kipli, sebanyak lima kategori bakal dipertandingkan iaitu kategori Tarian Perarakan, Persembahan Utama, Tarian Individu, Persembahan Showcase dan Tarian Kategori Duet.

Menurut beliau, bagi lima kategori tersebut Malaysia akan mengetengahkan Tarian Rakyat Tari Tempurung (kategori Tarian Perarakan), Tarian Etnik Sarawak - 'Sigar Nyikoh Jojak' (kategori Persembahan Utama), Funny Dance (kategori Tarian Individu), Tari Pergaulan Melayu (Joget) (Persembahan Showcase dan Folk/new creation (Tarian Kategori Duet). 

"Namun apa yang ingin ditekankan, tarian tradisional yang membezakan kita dengan negara-negara lain sebab itulah keunikan kita dan ia perlu ditonjolkan," katanya.

Seorang peserta Alton Leo John yang bakal mempamerkan langkah tarinya dalam tiga kategori pada pertandingan tersebut bangga untuk mengetengahkan seni tradisi yang menjadi lambang perpaduan kaum di Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Sebagai penari, kita jarang dapat peluang untuk mengangkat nama Malaysia melalui seni tari, oleh itu, peluang sebegini harus direbut," jelas anak muda berusia 21 tahun kelahiran Sabah itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel