Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Utamakan kempen beli barangan buatan Malaysia - Rina


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





PETALING JAYA, 12 Sept -- Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini menegaskan kempen beli barangan buatan Malaysia perlu diutamakan berbanding usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini.

Beliau berkata dengan menyokong barangan buatan Malaysia ia sekaligus dapat meningkatkan pendapatan negara.

“Kita (kerajaan) sebenarnya mengambil ketetapan bahawa apa yang kita utamakan adalah barangan buatan Malaysia. Sebab itu, saya percaya dengan menyokong produk buatan Malaysia kita dapat tingkatkan ekonomi negara.

“Selain itu, negara mempunyai masyarakat berbilang kaum, dan kemerdekaan ke-62 yang telah dicapai pada tahun ini adalah kerana perpaduan yang telah kita jaga selama ini. Kempen yang sebenarnya (sepatutnya) adalah kempen beli barangan buatan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Pra-Pelancaran Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada kempen boikot itu akan menjejaskan pengusaha barangan bukan Muslim.

Pada 4 Sept lepas, Jemaah Menteri dalam satu kenyataan bersetuju bahawa usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini adalah sangat tidak wajar.

Ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jemaah Menteri dalam kenyataan itu menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata tindakan memboikot produk bukan Islam adalah tindakan mereka yang cetek fikiran dan gerakan seperti itu tidak akan mendatangkan kesan yang besar, malahan hanya akan mengundang api kemarahan.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel