Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

27 tukun tiruan bernilai RM493,000 dilabuhkan di perairan Rompin, Tioman


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





ROMPIN, 12 Sept -- Jabatan Perikanan Pahang melabuhkan 27 tukun tiruan bernilai RM493,000 di dua lokasi di perairan Rompin dan Tioman di sini hari ini, bagi meningkatkan sumber perikanan dan habitat marin.

Pengarahnya Datuk Azahari Othman berkata kesemua tukun tiruan itu ialah jenis kuboid seberat 10 tan setiap satu, meliputi 20 di perairan Rompin dan bakinya di Tioman. 

"Ini merupakan kali ketiga tukun dilabuhkan di perairan Rompin dan yang kedua di Tioman, yang selain berfungsi sebagai tempat pembiakan ikan dan hidupan laut, ia juga berperanan menghalang aktiviti pukat tunda," katanya. 

Azahari berkata demikian pada ucapan Majlis Pelancaran Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda di Perairan Rompin dan Pulau Tioman 2019 yang dibacakan Ketua Cawangan Pengurusan Sumber dan Pelesenan Jabatan Perikanan Pahang Ahmad Fa'idzi Kastolany di Terminal Feri Tanjung Gemok di sini, hari ini. 

Jabatan Perikanan Pahang juga menurut Azhari telah meletak 226 unit tukun tiruan pelbagai jenis di perairan Kuantan, Pekan dan Rompin melibatkan perbelanjaan hampir RM3.5 juta dalam tempoh 10 tahun.

Beliau berkata pada kali ini, susunan tukun boleh menyebabkan pukat tunda tersangkut pada tukun dan pecah selain tali penariknya akan putus yang akan mengakibatkan kerugian besar kepada nelayan pukat tunda. 

"Bagi perairan Rompin, tukun akan dilabuhkan dalam jarak lima batu nautika dari pantai dengan kedalaman air di tapak tukun sebanyak 15 meter dengan jarak 4.5 meter antara satu sama lain. 

"Di Tioman, tukun dilabuhkan dalam jarak dua batu nautika  dari pantai dengan kedalaman 20 meter. Projek ini juga dapat menambah pendapatan nelayan terutamanya nelayan tradisional," katanya. 

Azahari berkata berdasarkan kajian, pelbagai jenis ikan, tumbuhan karang dan hidupan marin menjadikan tukun sebagai habitat baharu kira-kira enam bulan selepas tukun diturunkan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel