Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan enam lelaki termasuk tokan, rampas syabu dan heroin


Tarikh kemaskini: 11/09/2019





KANGAR, 11 Sept -- Gara-gara menjual dadah secara ‘bayar sewaktu terima” (Cash On Delivery) pada sebelah malam, tujuh lelaki warga tempatan termasuk seorang `tokan' ditahan dalam lima serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kontinjen Perlis bermula dari 9 Sept hingga semalam.

Serbuan antara pukul 10.40 malam dan 4.30 pagi tiga lokasi, iaitu di Simpang Empat, Arau dan Kuala Perlis itu menemukan 1,184.81 gram dadah jenis syabu dan 23.68 gram dadah jenis heroin yang dianggar bernilai RM121,685.40, yang dipercayai untuk diedarkan di sekitar negeri Perlis.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata taktik yang digunakan oleh suspek ialah dengan membungkus dadah berkenaan dan disorokkan di dalam kotak rokok, bungkusan teh dan juga surat khabar lama, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata suspek terlebih dahulu akan menghubungi pelanggannya dengan telefon sebelum membuat temujanji di tempat tertentu bagi ‘menyampaikan pesanan’ dan akan dihantar pada waktu malam.

“Kita percaya mereka mendapatkan hasil daripada luar, kemudian mereka akan jual kepada individu yang mahu benda (dadah) ini. Kita akan teruskan siasatan lanjut ke atas suspek,” katanya pada sidang media yang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini, hari ini.

Menurut Surina, kesemua tujuh suspek berumur antara 22 dan 52 tahun yang bekerja sebagai buruh, penganggur dan mekanik kereta itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata hasil ujian air kencing yang dilakukan, enam daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan seorang positif jenis morfin.

Katanya polis turut menyita tiga buah kereta dan sebuah motosikal dengan nilai keseluruhan berjumlah RM120,000.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel