Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penubuhan konsortium bantu nelayan sedang ditimbangkan


Tarikh kemaskini: 11/09/2019





PUTRAJAYA, 11 Sept  -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menimbangkan penubuhan konsortium nelayan yang melibatkan pelaburan pihak swasta dalam usaha meningkatkan hasil tangkapan dan seterusnya menambah pendapatan nelayan, kata Menterinya Datuk Salahuddin Ayub.

Menurutnya buat masa ini nelayan pantai menghadapi kesukaran untuk meningkatkan hasil tangkapan kerana kekurangan modal untuk membeli bot dan peralatan moden.

Beliau berkata model konsortium yang bermatlamatkan usaha bagi membantu para nelayan untuk mendapatkan bot serta peralatan dan teknologi moden yang akan dibekalkan oleh pelabur, masih di peringkat cadangan.

“Melalui konsortium itu, kita akan bagi segala kemudahan untuk menangkap ikan dan sebahagian hasil jualan ikan akan mereka nikmati manakala sebahagian lagi akan dapat dinikmati pihak yang melabur,” kata Salahuddin.

“Oleh itu, kedua-dua pihak akan mendapat keuntungan dengan model yang kita sedang fikirkan ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP) Jabatan Perikanan Malaysia di sini hari ini.

DPP mengandungi Pelan Strategik Pengembangan Perikanan 2018-2030; Metadologi Pengembangan: Integrasi Pengembangan Perikanan; Manual Pengembangan Perikanan; Kit Perikanan; Dokumen Pemantauan dan Penilaian; Modul Latihan Pengembangan dan myKomuniti Perikanan.

DPP itu akan diterapkan kepada kakitangan barisan hadapan Jabatan Perikanan melalui siri taklimat yang akan dilaksanakan di peringkat negeri. 

"Adalah diharapkan (DPP) akan menjadikan sektor perikanan khususnya nelayan pantai dapat mengubah nasib mereka pada masa akan datang,” kata Salahuddin.

Mengenai cadangan penggabungan tanah sawah untuk diusahakan sebagai estet perladangan seperti yang diutarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Salahuddin berkata perkara itu sedang diberi tumpuan oleh kementeriannya.

Beliau berkata kementerian akan meneliti model pengurusan estet padi yang dilaksanakan Felcra serta melihat contoh-contoh usawahan padi yang berjaya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel