Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Guru Pendidikan Khas Kelantan dapat Anugerah PMCA


Tarikh kemaskini: 11/09/2019




KOTA BHARU, 11 Sept -- Komitmen tinggi terhadap kerjaya memberi kelebihan kepada guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji,  K. A Razhiyah, 60, terpilih memenangi Anugerah Puteri Maha Chakri (PMCA) 2019 mengatasi sembilan calon lain di seluruh negara.

Razhiyah yang telah menjadi pendidik selama 34 tahun itu berkata kemenangan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana semua guru yang bertanding mempunyai kelebihan tersendiri.

"Saya adalah guru ketiga Malaysia yang mendapat anugerah ini. Saya mengangggap anugerah ini sebagai hadiah bersama kepada semua pihak dan satu amanah besar untuk saya terus cemerlang pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Lawatan Yayasan PMCA di SMK Panji di sini, hari ini, yang turut dihadiri bekas Setiausaha Kementerian Pendidikan Thailand, Khunying Dr Kasama Varavarn dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Abu Hanipah @Fauzi Zahari.

Majlis penganugerahan PMCA itu akan diadakan di Bangkok, Thailand pada 15 Okt depan sekaligus melayakkan Razhiyah menerima hadiah wang tunai kira-kira RM40,000 dan satu unit pin emas PMCA.

Anugerah PMCA mula diperkenalkan pada 2015 yang diberikan kepada guru cemerlang di sebelas negara Asia Tenggara setiap dua tahun sekali bertujuan mempromosikan amalan dan memberi inspirasi kepada guru-guru bagi semua negara yang terlibat.

Sebelum ini dua guru Malaysia telah menerima anugerah berkenaan iaitu Zaunuddin Zakaria dari SMK Taman Bukit Maluri (2015) dan Saripah Embong dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (2017).

Razhiyah berkata beliau akan memanfaatkan wang yang dimenangi itu untuk membuka spa pelajar orang kurang upaya (OKU) bagi membolehkan golongan itu berdikari dan menjana pendapatan.

"Saya telah memohon untuk melanjutkan perkhidmatan sebagai guru kerana masih mahu menabur bakti kepada anak bangsa khususnya pelajar OKU. Saya sentiasa sematkan dihati bahawa kerja saya adalah ibadah dan khidmat saya kepada pelajar OKU diharap dihitung Allah sebagai saham saya di akhirat," katanya.

Razhiyah yang mula berkhidmat di SMK Panji pada 2006 turut mewujudkan Teratak Spa Pendidikan Khas di sekolah berkenaan yang dimanfaatkan  99 pelajar OKU selain menghasilkan lebih lima buah buku berkaitan pendidikan khas, menulis skrip drama dan dinobatkan sebagai 50 guru terbaik di dunia pada tahun lepas.

Dalam pada itu Abu Hanipah berkata kejayaan yang dicapai oleh Razhiyah boleh dijadikan inspirasi kepada semua guru yang lain selain menjadi kebanggaan kepada JPN Kelantan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel