Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Laporan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA dijangka siap enam bulan lagi


Tarikh kemaskini: 11/09/2019





KUALA TERENGGANU, 11 Sept -- Laporan cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Putrajaya, hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi menggerakkan penggabungan itu dengan disertai pelbagai pihak.

“Kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

“Sebuah Jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai wakil daripada kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta juga wakil daripada pelbagai agensi dan kementerian serta pihak berkepentingan, bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa selama enam bulan,” kata kenyataan itu.

Jemaah menteri pada 4 Sept lepas, secara prinsipnya bersetuju dengan penggabungan UMT dan UniSZA yang dilihat akan memantapkan keupayaan kedua-dua universiti selaras dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 Pendidikan Tinggi (PT).

Malah inisiatif itu juga dijangka memacu pembangunan industri di Terengganu di samping menangani persaingan sesama universiti bagi mendapatkan pelajar, kakitangan serta sumber.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah penggabungan antara dua universiti itu juga bukanlah suatu perkara baharu, kerana ia turut berlaku di negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia bagi meningkatkan tahap keberkesanan, jangkauan serta daya saing sesebuah institusi baharu.

Ia juga dilihat satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkat kualiti perkhidmatan serta memberi nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

"Langkah ini telah dilaksanakan oleh universiti dan kolej di beberapa buah negara, antaranya University of Manchester dan University of Manchester Institute of Science & Technology (UMIST) di United Kingdom,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel