Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Murid SK Hamzah hidap sakit buah pinggang kronik rayu sumbangan


Tarikh kemaskini: 11/09/2019





MACHANG, 11 Sept -- Walaupun masih lagi dalam usia muda, namun Mohamad Haris Iqram Ab Rahim, 11, pelajar Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Hamzah 1 ini sudah diuji dengan penyakit buah pinggang kronik tahap empat dan kini terpaksa menjalani rawatan dialisis seumur hidup kerana kedua-dua buah pinggangnya telah rosak.

Ibunya, Hazaipah Yusoff, 48, merayu sumbangan orang ramai untuk meringankan beban keluarga bagi membolehkan anak ke-10 daripada 11 adik-beradik itu menjalani kehidupan yang lebih selesa. 

Bercerita lanjut, Hazaipah berkata anaknya disahkan menghidap sakit buah pinggang kronik tahap empat selepas mengalami demam selama dua hari pada Februari tahun lepas. 

“Selepas mengalami demam selama dua hari, kami membuat keputusan untuk membawanya ke klinik berdekatan dan dalam perjalanan Mohamad Haris tidak sedarkan diri dan terpaksa dirujuk ke Hospital Machang. 

“Bimbang dengan keadaan itu, doktor di Hospital Machang merujuk anak saya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan di sana dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana koma selama sembilan hari dan dibenarkan pulang selepas lima bulan mendapatkan rawatan di wad biasa,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Gosong di sini hari ini. 

Hazaipah berkata, kesihatan Mohamad Haris itu mula merosot sejak beberapa bulan yang lalu menyebabkan kehadirannya ke sekolah juga terbantut kerana sering kali sesak nafas dan juga mengalami tekanan darah rendah. 

“Dalam seminggu dia hanya mampu ke sekolah dua hari sahaja, akibat terpaksa berulang-alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu untuk menerima rawatan dialisis sejak bulan April tahun lalu. 

"Jika sebelum ini, saya dan suami, Ab Rahim Sha'ari, 57, perlu berulang-alik ke HRPZ II untuk membawa Mohamad Haris menjalani rawatan dialisis setiap tiga kali seminggu, namun hasil bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) pada Jun lalu sebuah bilik khas dibina bagi membolehkan anak saya menjalani rawatan dialisis di rumah.

“Segala kelengkapan rawatan dialisis seperti Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) yang dilakukan di rumah juga dibekalkan oleh HRPZ II dan rawatan ini perlu dilakukan sebanyak empat kali sehari setiap lima atau enam jam sekali,” kata Hazaipah. 

Hazaipah yang juga suri rumah berkata, sebelum ini dia yang bekerja sebagai ‘Radicare’ di Hospital Machang terpaksa diberhentikan oleh majikannya pada Jun lepas kerana sering mengambil cuti untuk menguruskan Mohamad Haris. 

Katanya, kini dia sekeluarga terpaksa bergantung dan berharap dengan pendapatan suami Ab Rahim Shaa’ri, 57, yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan, selain sedikit bantuan bulanan daripada anak sulungnya, Nor Emizura, 32, yang bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik di Selangor.

“Kos penjagaan Mohamad Haris sahaja pun sudah mencecah RM500 sebulan termasuk kelengkapan untuk melakukan rawatan dialisis di rumah.

“Keluarga kami memang susah, dengan pendapatan yang ada memang tidak mencukupi untuk menanggung kos penjagaan anak kami dan keperluan tiga anak lain yang masih bersekolah,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150.

Lebih menyedihkan, Hazaipah berkata, sebelum ini dua anaknya juga telah meninggal dunia disebabkan penyakit yang sama iaitu Mohd Hafizie pada tahun 1999 dan Nor Azwa Idayu pada 2011.

“Walaupun saya telah kehilangan dua anak saya disebabkan penyakit ini, namun sehingga kini saya tidak putus-putus berdoa dan mengharap agar Mohamad Haris dipanjangkan umur dan tidak menerima nasib yang sama seperti abang dan kakaknya,” katanya.

Katanya, beliau berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban yang ditanggung ketika ini, dan orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun CIMB Bank Berhad, 03030001138200 atas nama Hazaipah Yusoff atau boleh menghubungi Hazaipah di talian 019-282 3962.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel