Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Enam saliran pembetung di bawah Tambak Johor akan dibaik pulih - Exco


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





JOHOR BAHRU, 10 Sept  -- Kerajaan Johor sedang mencari jalan untuk membaik pulih enam saliran pembetung di bawah Tambak Johor demi memastikan air di Selat Johor mengalir dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata tinjauan beliau bersama Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Aziz Abdullah hari ini mendapati dua daripada saliran pembetung masih berfungsi manakala empat yang lain sudah tertimbus di bawah satu kawasan kompleks penempatan pekerja.

“Jadi, kita (kerajaan negeri) akan mencari jalan untuk memperelokkan dua saliran pembetung itu manakala empat yang lain akan dibaik pulih. Kerajaan negeri akan cadang pihak-pihak berkenaan untuk memberi kerjasama dan mencari peruntukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (Wilayah Selatan) 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua saliran pembentung berkenaan di bawah selenggaraan pihak PLUS Malaysia Bhd.

“Anggaran bajet untuk kos membaik pulih ini belum ada, kita akan minta Jabatan Kerja Raya untuk menganggarkan bajetnya. Secara rasminya kita selesaikan peringkat negeri dahulu sebelum bawa hal ini ke peringkat pusat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Mohd Solihan, usaha membaik pulih saliran pembetung itu perlu dilakukan bagi memastikan pengaliran air yang baik di kedua-dua belah Tambak Johor sekali gus mengatasi pencemaran di Selat Johor lebih-lebih lagi ekoran kematian ribuan ikan di Pantai Lido, baru-baru ini.

“Namun, hasil lawatan kami tadi, saya tidak mendapati ada bau keracunan malah air laut di kiri dan kanan Tambak Johor berkeadaan baik. Mungkin masalah pencemaran ini dari sungai-sungai yang mengalir ke kawasan laut terutamanya berhampiran Pantai Lido,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Solihan berkata kerajaan negeri kini berhati-hati dan akan memastikan kontraktor pembinaan yang benar-benar berkemampuan untuk diberikan tender pembangunan di negeri ini bagi mengelakkan projek terbengkalai.

Beliau berkata kebanyakan syarikat pembinaan itu mengalami kelewatan projek beberapa hari dan bulan dengan melibatkan projek bernilai puluhan juta ringgit.

“Kita tidak boleh teruskan keadaan sebegini dan sehubungan itu, saya menyeru syarikat-syarikat pembinaan supaya lebih serius dalam perniagaan masing-masing, meningkatkan kewangan mereka dan memastikan pengurusan kakitangan dilakukan dengan cekap.

“Kami (kerajaan negeri) menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka, tetapi ada yang sub projek yang diperolehi itu kepada syarikat lain sekali gus menimbulkan masalah,” katanya sambil menambah agensi-agensi terlibat dalam penilaian tender diharapkan bersikap tegas terhadap syarikat yang tidak mempunyai kemampuan kewangan.

Menurut Mohd Solihan, setakat ini kerajaan negeri sudah menamatkan kontrak beberapa syarikat dan membuka semula kontrak baharu kepada syarikat kontraktor berwibawa selain memberi amaran kepada mereka yang terlibat.

Katanya antara projek terbengkalai di bandar raya ini adalah pembinaan makmal patologi di Hospital Sultanah Aminah bernilai RM42 juta di mana kontrak terhadap syarikat kontraktor terlibat sudah ditamatkan dan tender baharu sudah dibuka kepada kontraktor lain.

Turut terbengkalai adalah pembinaan sebuah jambatan di Plentong bernilai RM21 juta dan dua sekolah di Taman Perling, di sini yang bernilai lebih RM20 juta di mana syarikat kontraktor terlibat sudah diberikan amaran, katanya.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel