Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penjenamaan semula PPR kepada PPM belum muktamad - KPKT


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





KUALA LUMPUR, 10 Sept  -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) belum memuktamadkan mengenai cadangan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Perumahan Malaysia (PPM).

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata pihaknya belum membentangkannya secara formal dan menyeluruh berhubung perancangan atau konsep PPR yang baharu itu. 

"Jadi, saya rasa cara terbaik dengan menunggu sehingga kami telah melengkapkan kajian dan cadangan, sebelum ia diumumkan oleh Menteri (Zuraida Kamaruddin) apakah dasar yang sebenarnya dalam waktu terdekat.

"Ketika itu (selepas diumumkan) barulah ia boleh dibahaskan dengan memberi cadangan yang lebih membina," katanya kepada pemberita selepas meraikan pemenang “Housing 4.0 Design Competition” di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang meminta agar KPKT mengkaji semula cadangan penjenamaan semula PPR kepada PPM yang didakwa bakal menjejaskan peluang golongan B40 untuk mendapatkan kediaman.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata Housing Design 4.0 Competition merupakan satu cara terbaik dalam mengembangkan lagi industri pembangunan di negara ini.

"... ini dapat mempelawa dan memberi peluang kepada arkitek muda supaya mereka diberi satu pentas untuk menunjukkan kemahiran dan inovasi mereka," katanya.

Pertandingan anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Gamuda Industrial Building System Sdn Bhd (Gamuda IBS) itu menerima 111 penyertaan sejak bermula pada April lalu.

Mohd Rashdan Daud daripada GDP Architects Sdn Bhd memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu dan membawa pulang hadiah wang tunai RM80,000.

Tempat kedua dimenangi Leong Yew Kon daripada GSD Architect, dan menerima hadiah wang tunai RM40,000 manakala Muhammad Qhawarizmi Norhisham daripada Qhawarizmi Architect dan Praktikal Architects Sdn Bhd di tempat ketiga dan membawa pulang RM30,000.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel