Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ikan mati, pengusaha ikan sangkar alami kerugian RM325,000


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





KUALA TERENGGANU, 10 Sept  – Ribuan ikan sangkar mati ekoran fenomena air pasang surut yang melanda Kampung Pulau Musang  dan Kampung Beladau Kolam di sini sejak Ahad lepas, mengakibatkan tujuh pengusaha mengalami kerugian kira-kira RM325,000.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata  jenis ikan terlibat ialah tilapia merah dan baung, yang mencecah 25 tan metrik.

“Kejadian itu  disebabkan keadaan sungai yang tiada arus dan berlaku air surut yang panjang pada kedalaman 0.3 meter hingga 0.5 meter. Ketiadaan arus menyebabkan kekurangan oksigen di dalam air dan ia sering berlaku pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Tinjauan Bernama ke beberapa sangkar ikan di Kampung Beladau Kolam mendapati pengusaha masih giat membersih dan membuang bangkai ikan yang banyak terapung di kawasan sekitar sejak pagi tadi.

Sementara itu, pengusaha ikan sangkar, Mat Zaki Yatim, 67, yang ditemui berkata dia bukan sahaja terkilan kerana tidak sempat menjual ikan tersebut, tetapi juga terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM100,000.

“Ikan ini mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk matang sebelum dijual dan saya berasa terkilan kerana sepatutnya dua bulan lagi sudah boleh dijual,” katanya.

Menurut Mat Zaki kejadian tersebut bukanlah pengalaman pertamanya tetapi pernah melaluinya sebanyak enam kali, sejak menjadi penternak ikan pada 1993, malah pada Julai lalu dia juga mengalami nasib yang sama (ikan mati).

Kira-kira lebih empat tan metrik ikan ternakannya mati di dalam enam sangkar dan dia hanya menyedari kejadian itu awal pagi semalam.

Muhammad Yusri Che Mat, 39, yang mengusahakan penternakan ikan sangkar bersama adiknya Muhammad Amzar Aizuddin Che Mat, 29, berkata dia sempat melihat ikan tersebut timbul ke permukaan air sebelum bertindak memasang ‘blower’  iaitu alat oksigen.

“Bagaimanapun ekoran ‘blower’ tidak cukup, ikan yang berada di tiga buah sangkar mati manakala tujuh lagi selamat,” katanya, yang tidak berputus asa, sebaliknya akan terus menternak ikan dan mencari alternatif supaya keadaan yang sama tidak berulang.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel