Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ahli perniagaan rugi lebih RM180,000 ditipu sindiket pelaburan tidak wujud


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





KEPALA BATAS, 10 Sept  -- Seorang ahli perniagaan kerugian sebanyak RM181,209.35 selepas lelaki itu menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud, dekat sini pada Khamis lepas. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 48 tahun itu terlibat dalam penipuan tersebut selepas tertarik dengan iklan pelaburan yang ditawarkan di aplikasi sosial WeChat.

"Lelaki itu yang teruja dengan tawaran yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat dan mangsa telah menghubungi nombor telefon yang diberikan sebelum bercakap dengan seorang wanita kononnya dari Hong Kong yang mendakwa dia adalah ejen sebuah syarikat pelaburan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata ahli perniagaan itu bersetuju untuk melabur sebanyak RM146,876.20 sebelum mangsa dipengaruhi untuk melabur sebanyak RM181,209.35 dan dijanjikan mendapat pulangan dalam masa dua bulan bersama modal.

Menurutnya, mangsa yang teruja dengan tawaran itu telah membuat sebanyak 22 transaksi pindahan deposit tunai di beberapa buah bank sekitar Butterworth.

Noorzainy berkata selepas memindahkan wang berjumlah RM181,209.35 ke dalam dua akaun bank tempatan seperti yang dipersetujui, wanita itu memaksa mangsa  untuk menambah nilai pelaburan kerana menawarkan pulangan lebih lumayan.

"Mangsa bagaimanapun menyedari dia ditipu selepas pelbagai alasan diberikan oleh ejen (wanita) itu apabila lelaki tersebut bertanyakan berhubung pulangan pelaburannya," katanya.

Beliau berkata lelaki itu kemudiannya membuat laporan polis semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pemilik akaun-akaun yang digunakan sindiket tersebut.

Dalam kes berasingan, Noorzainy berkata seorang pemandu Grab kerugian sebanyak RM18,980 selepas lelaki itu diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud dalam kejadian Khamis lalu selepas tertarik dengan tawaran di aplikasi sosial WhatsApp. (attn sub: kes pelaburan People Global Premium Investment Plan)

"Mangsa berusia 29 tahun itu bersetuju melabur sebanyak RM500, namun telah terpengaruh dengan wanita yang mendakwa sebagai ejen sehingga membuat pelaburan sebanyak RM18,980 kerana dijanjikan pulangan lumayan segera bersama modal dalam tempoh dua hari," katanya.

Menurutnya, lelaki itu hanya menyedari dia ditipu selepas berterusan dihasut untuk menambah nilai  pelaburan dan ejen wanita berkenaan sering memberi alasan selepas ditanya berhubung pulangan pelaburannya.

Menurutnya lelaki itu membuat laporan polis semalam dan kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel