Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Yakeb peruntuk RM1.8 juta setahun bantu bekas atlet


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





KOTA BHARU, 10 Sept  -- Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) memperuntukkan RM1.8 juta setiap tahun bagi membantu bekas-bekas atlet kebangsaan di seluruh negara yang memerlukan bantuan.

Pengerusinya Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeeb berkata peruntukan itu bagi menjaga kebajikan bekas-bekas atlet yang telah mengharumkan nama negara.

"Kami tidak lupa jasa-jasa mereka walaupun kami kekurangan dana namun kami tidak putus asa untuk mendapatkan peruntukan daripada pelbagai sumber.

"Pelbagai jenis bantuan yang telah kami berikan antaranya melibatkan bantuan perubatan, peralatan dan khairat kematian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerusi Roda kepada Atlet OKU di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Penyampaian sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wan Roslan Wan Hamat kepada tiga bekas atlet kebangsaan yang berasal dari Kelantan.

Noorul Ariffin berkata sepanjang 12 tahun yayasan itu ditubuhkan, seramai 1,745 bekas atlet kebangsaan telah mendapat bantuan daripada pihaknya.

"Tahun ini sahaja RM1.2 juta telah dibelanjakan bagi membantu bekas-bekas atlet yang merangkumi bantuan perubatan, peralatan, khairat kematian dan sebagainya.

"Begitu juga setiap tahun kami menerima hampir 100 bekas atlet negara untuk berdaftar dengan kami bagi mendapatkan kebajikan selepas bersara," katanya.

Pihaknya akan melancarkan sebuah tabung bagi mendapatkan dana bagi menampung perbelanjaan untuk tahun-tahun akan datang.

"Tabung itu akan dilancarkan bulan hadapan iaitu sempena Hari Sukan Negara, selain itu kami juga akan adakan larian dan perlawanan golf untuk mengumpul dana," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel