Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jerebu: Rakyat Melaka mula ambil langkah berjaga-jaga


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





MELAKA, 10 Sept  -- Rakyat di negeri ini mula mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas berikutan keadaan berjerebu yang sedang melanda di beberapa daerah di negeri ini terutamanya di Alor Gajah dan Bukit Rambai.

Dua lokasi tersebut mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 3 petang ini.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Alor Gajah merekodkan bacaan IPU 102 dan Bukit Rambai pada 103.

Tinjauan Bernama mendapati aktiviti penduduk di negeri ini berjalan seperti biasa namun kabanyakan mereka mula mengambil inisiatif memakai topeng penutup hidung dan mulut ketika berada di luar kawasan rumah.

Suri rumah, Nadzirah Roslan, 30, dari Gadek di sini keadaan jerebu itu memaksanya mengehadkan aktiviti di luar rumah dan memastikan udara di dalam rumah sentiasa bersih dengan menghindarkan pencemaran asap rokok serta menutup tingkap rumah bagi mengelakkan asap jerebu memasuki rumah.

"Sekiranya ingin keluar membeli barang keperluan, saya akan memastikan saya dan anak-anak memakai topeng bagi mengelak (mereka) terdedah kepada masalah kesihatan lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pengayuh beca di Bandar Hilir, Ahmad Alias, 50, berkata fenomena jerebu yang kini melanda negeri ini memberi kesan kepada kesihatan dirinya sehingga menyebabkan mata berair, pedih, tekak rasa kering dan kadang kala sukar bernafas.

"Memandangkan sumber pendapatan saya bergantung kepada aktiviti mengayuh beca, saya tidak dapat mengelak diri daripada jerebu ini, namun saya perlu sentiasa memakai penutup muka di samping meminum air kosong yang banyak," katanya.

Seorang kakitangan awam, Noor Azmi Hamdan, 55, pula berkata, dia berharap kejadian jerebu ini tidak bertambah teruk hingga mengganggu kesihatan serta kesejahte­raan masyarakat di negeri ini.

"Selain mengelak melakukan pembakaran terbuka, saya cuba untuk sentiasa berada di dalam bangunan selain membasuh tangan dan muka dengan sabun serta air bersih selepas melakukan aktiviti luar," katanya dari Batu Berendam di sini.

Seorang pekerja swasta, Norizah Atin, 34, dari Tangkak, Johor berkata beliau sama sekali tidak membenarkan anak-anaknya keluar dari rumah tanpa mengenakan topeng muka dan meminum air masak secukupnya setiap hari.

"Apatah lagi seorang anak lelaki saya yang berusia tujuh tahun menghidap asma, jerebu memang membahayakan lebih-lebih lagi kepada mereka yang menghadapi alergi pada kulit seperti saya, sudah tentu membuatkan kulit saya kerap merasa gatal," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel