Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pertukaran pelajar TVET platform terbaik pertukaran teknologi - pelajar Indonesia


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





MELAKA, 10 Sept  -- Pelajar politeknik Indonesia yang mengikuti program pertukaran pelajar Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Asia Tenggara di Politeknik Melaka di sini menyifatkan program itu  sebagai platform terbaik pertukaran ilmu khususnya berkaitan teknologi.

Pelajar Ijazah dalam Reka Bentuk Lebuh Raya dan Jambatan, Muhammad Nata Persada, 20, dari Politeknik Negeri Sriwijaya, Indonesia berkata beliau banyak mempelajari teknologi baharu dalam bidang kejuruteraan seperti penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan.

"Banyak yang kami pelajari sepanjang hampir sebulan di Politeknik Melaka ini terutama dari segi penggunaan teknologi dalam bidang pembinaan seperti IBS yang belum saya pelajari di Indonesia selain kami dapat turun ke lapangan seperti kilang untuk lawatan industri.

"Selain itu, kami juga mempelajari banyak budaya baharu tentang pelbagai masyarakat di Malaysia yang belajar di Politeknik ini selain turut meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos lepas," katanya yang tinggal di Kenten City, Pelembang, Indonesia kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis penutupan  Program Pertukaran Pelajar TVet Asia Tenggara Siri ke-4 Di bawah Rangkaian Politeknik Pertubuhan Pendidikan Menteri Pelajaran Asia Tenggarar (SEAMEO) dan  Program Pertukaran Mahasiswa Sriwijaya oleh Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Menerusi program itu, sebanyak sembilan pelajar dari tiga politeknik di Indonesia iaitu Politeknik Negeri Bali, Politeknik Negeri Jakarta dan Politeknik Sriwijaya menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran di Politeknik Melaka dalam tempoh 17 Ogos lepas hingga 14 Sept depan manakala 10 lagi pelajar dari Politeknik Sriwijaya menjalani program latihan industri di Syarikat Sanc Group di sini dalam tempoh sama.

Sementara itu, pelajar Ijazah dalam Pembinaan Bangunan Tinggi dari Politeknik Negeri Jakarta, Kelvin Nowan Rasachi, 21, berkata teknologi IBS yang diguna pakai secara meluas di Melaka juga perlu digunakan di Indonesia kerana ia bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga wang.

"Di Indonesia kebanyakan pembinaan bangunannya masih menggunakan kaedah konvensional dan secara keseluruhan teknologi yang digunakan di Malaysia dalam industri pembinaan lebih maju  ke hadapan," katanya.

 Bagi Pelajar Ijazah dalam Pengurusan Akaun dari Politeknik Negeri Bali, Ni Kadek Meri Tiar Dwi Absari, 20, pula banyak perisian komputer baharu berkaitan akaun dapat dipelajari sepanjang berada di Politeknik Melaka selain dapat bergaul dengan pelbagai kaum yang terdapat di negeri ini .

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel