Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkasa program turun padang, dekati remaja bermasalah - Mujahid


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





MELAKA, 10 Sept -- Semua pihak termasuk jabatan agama Islam negeri perlu memperkasakan program bersifat turun padang bagi mendekati kumpulan sasar khususnya golongan remaja bermasalah agar dapat membimbing mereka supaya kembali ke pangkal jalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata gejala keruntuhan akhlak seperti pergaulan bebas dalam kalangan remaja bukan suatu perkara kecil dan jika tidak ditangani mereka akan menjadi liabiliti kepada negara pada masa depan, sekali gus mengganggu proses pembangunan sesebuah negara.

"Tanpa menafikan tugas-tugas penguatkuasaan dan pendakwaan yang dijalankan pihak berkuasa di negeri, program bersifat turun padang dengan mendekati remaja yang terus diperkasakan mampu menjadi suluh pandu bagi hati mereka yang tersasar supaya dapat kembali ke pangkal jalan seiring gagasan 'rahmatan lil alamin'.

"Pihak-pihak yang lain juga termasuk ibu bapa, guru dan pemimpin perlu mengambil cakna terhadap isu ini, bukan lagi masanya untuk menuding jari mencari kesalahan pihak tertentu, sebaliknya harus bersatu hati membendung gejala pergaulan bebas yang boleh merencatkan pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Cakna Pergaulan Anda, Cegah Jenayah Tanggungjawab Bersama 2019 di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Md Azhan Samat.

Teks ucapan Mujahid dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff.

Mujahid berkata dalam usaha membendung gejala negatif melalui penguatkuasaan undang-undang, program dakwah ke arah membudayakan amalan berbudi bahasa, hormat-menghormati dan amanah turut perlu digerakkan agar golongan tersasar dapat kembali mengamalkan integriti dan budi pekerti yang luhur.

"Sekiranya semua aspek ini disatukan, tidak mustahil kita akan dapat membentuk sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri sekali gus melahirkan masyarakat berkeperibadian unggul dan golongan remaja yang bersahsiah tinggi bagi memacu dunia ke arah pembangunan lebih maju," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Mujahid berkata ia bertujuan mengetengahkan pencegahan jenayah syariah berkonsep rahmah dan menggerakkan program dakwah kepada semua golongan dalam usaha menjayakan dasar kerajaan gagasan 'rahmatan lil alamin'.

"Ini selari dengan pelan intervensi kluster agensi agama Persekutuan (PIKAP) 2019-2025 yang dibangunkan Jakim bersama agensi-agensi di bawahnya yang mana kluster perundangan dan kehakiman merupakan satu daripada tujuh kluster berkenaan.

"Kita dapati kluster perundangan dan kehakiman boleh berperanan secara proaktif dalam memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai kefahaman undang-undang syariah serta menyampaikan dakwah secara berkesan dalam usaha membangunkan modal insan," katanya.

Tujuh kluster tersebut ialah perundangan dan kehakiman; pendidikan dan pembangunan insan; dakwah dan media; sosioekonomi; pengurusan haji dan pensijilan halal; pengurusan masjid; serta penyelidikan dan pemikiran Maqasid.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel