REifZXJAHAk Tanam Padi Skala Besar: Kerajaan pertimbang pandangan pakar perladangan
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tanam Padi Skala Besar: Kerajaan pertimbang pandangan pakar perladangan


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





ALOR SETAR, 10 Sept  -- Kerajaan sudah mendengar pandangan dari salah seorang bekas peneraju syarikat perladangan negara yang boleh menjadi rangka untuk melaksanakan program perladangan padi berskala besar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, hari ini berkata Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah membentangkan cadangan berhubung percantuman tanah yang boleh diaplikasikan dalam penanaman padi secara besar-besaran.

“Dia (Mohd Bakke) biasa dengan pengurusan ladang ladang sawit dan getah dan dia telah menulis sebuah paper (kertas kerja) berkenaan dengan cara cara nak cantumkan tanah supaya jadi lebih besar tapi tidak terhad kepada padi sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan di sini.

Menurutnya cadangan berkenaan boleh diaplikasikan dalam keadaan yang dihadapi oleh golongan pesawah di negara ini yang sebahagian besarnya merupakan orang Melayu, yang setiap seorangnya memiliki saiz bidang tanah yang terhad.

“Kita lihat orang Melayu banyak mempunyai dua tiga ekar tanah dan tanam kelapa sawit. Tak boleh untung. Tanam getah tak boleh untung. Dia kena cantum supaya jadi lebih besar, urus dengan cara profesional, guna secara yang terbaik baru boleh untung,” katanya.

Dr Mahathir berkata cadangan percantuman tanah ini diberikan penekanan berikutan pemberian subsidi termasuk pengagihan baja secara percuma yang diamalkan selama ini masih gagal membawa golongan pesawah keluar dari kemiskinan.

“Kita boleh bagi subsidi, kita boleh bagi baja free tapi kemiskinan masih terus berlaku. Keluaran padi masih kurang berbanding dengan tempat tempat yang diurus dengan baik sebab itu kali ini kita bercadang untuk menanam padi ini dengan cara lain,” katanya.

Perdana Menteri juga mahu institusi pengajian tinggi untuk menyediakan lebih banyak lagi peluang latihan pengurusan bagi memenuhi keperluan sumber manusia untuk menguruskan ladang-ladang padi ini nanti.

“Kita nak utamakan latihan pengurusan ladang yang besar dan mereka (generasi belia) boleh menjadi manager seperti mana dalam ladang-ladang kelapa sawit dan getah,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel