Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua remaja ditahan dipercayai bakar dua kereta dekat Kulai


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





JOHOR BAHRU, 10 Sept  -- Dua remaja lelaki ditahan, petang semalam, kerana dipercayai terlibat kejadian membakar dua kereta di Taman Scientex dan Taman Wawasan dekat Kulai.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow  berkata kedua-dua mereka yang berumur 15 tahun itu ditahan berasingan di Taman Scientex dan Kampung Sri Paya, dekat Kulai, kira-kira 2.30 petang Ahad.

Beliau berkata penahanan mereka dilakukan selepas polis bertindak atas laporan yang diterima di Balai Polis Kelapa Sawit, Kulai daripada dua pengadu membabitkan seorang wanita dan lelaki pada tengah malam serta awal pagi semalam. 

“Dalam laporan kira-kira 12 malam terbabit, wanita tersebut mendakwa dia menyedari kereta Perodua Myvi miliknya terbakar kira-kira 10.30 malam di rumahnya di Taman Scientex dan kebakaran itu kemudian dipadamkan bomba. Hasil siasatan menemukan satu botol air mineral 1.5 liter yang dipercayai mengandungi bahan bakar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Tok, dalam laporan kira-kira 2.50 pagi oleh pengadu lelaki pula, dia mendakwa kereta Proton Iswara miliknya yang diletakkan di lorong belakang rumahnya di Taman Wawasan terbakar kira-kira 10 malam dan setelah bomba memadamkan kebakaran terbabit, dipercayai ada unsur khianat.

Beliau berkata hasil soal siasat terhadap kedua-dua remaja terbabit, mereka mengaku membakar kereta berkenaan dengan menggunakan petrol dan polis kemudian merampas beberapa barangan daripada mereka termasuk dua helai baju, dua helai seluar pendek serta sebuah motosikal.

Katanya, kedua-dua mereka kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel