Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APM perhebatkan usaha mantapkan integriti dan disiplin anggota


Tarikh kemaskini: 09/09/2019





TAIPING, 9 Sept -- Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab hari ini berkata APM pada ketika ini sedang memperhebatkan usaha-usaha memantapkan aspek integriti dan disiplin dalam kalangan warganya.

"Ini kerana sebagai sebuah badan beruniform dan pasukan penyelamat, aspek disiplin dan amalan integriti dalam menjalankan tugas amat penting bagi memberi keyakinan kepada masyarakat mengenai perkhidmatan APM dan mengukuhkan jenama APM sebagai agensi yang unggul," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Bersekutu kepada 10 Pengarah Kolej Komuniti dan Penutup Program Himpunan Institusi Pertahanan Awam Kolej Komuniti peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Pada majlis itu, 98 anggota Pasukan Institusi Pertahanan Awam (Pispa) dengan 14 pengurus pasukan daripada 13 kolej komuniti seluruh negara menyertai Himpunan Pertahanan Awam (Hipa) 4.0 bermula 6 hingga 9 Sept.

Beliau juga memberitahu wartawan selepas majlis itu bahawa berkata pembabitan pelajar daripada kolej komuniti dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) merupakan suatu usaha baik yang wajar  bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan itu dalam menghadapi sebarang bencana di negara ini.

Ini kerana pelajar berkenaan memiliki kemahiran masing-masing yang banyak membantu APM ketika mereka membabitkan diri dalam khidmat komuniti pada waktu pasca bencana di Kelantan pada 2014, katanya.

Beliau berkata selain akademik, pelajar terbabit juga menerapkan kemahiran insaniah yang sangat diperlukan untuk diri mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

"Kesungguhan dan komitmen (telah) ditunjukkan oleh anggota sokongan dari kolej komuniti dengan kesanggupan mereka untuk membantu APM seperti membaiki pendawaian elektrik, memasak dan sebagainya," katanya.

Roslan berkata pihaknya telah melatih kira-kira 10,000 pelajar kolej komuniti di 103 kolej di seluruh negara sejak 2014.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata APM mempunyai 2. 2 juta ahli sukarelawan dan daripada jumlah itu, hanya 40,000 hingga 50,000 sahaja yang aktif. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel