Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mangsa kebakaran tersentuh hati dengan keprihatinan Sultan Muhammad V


Tarikh kemaskini: 08/09/2019




KOTA BHARU, 8 Sept -- “Hati saya tersentuh dengan kedatangan Tuanku (Sultan Muhammad V) untuk ziarah mangsa kebakaran bulan lalu,” kata seorang penerima bantuan mangsa kebakaran, Abu Bakar Abd Rahman. 

Abu Bakar, 63, pesara guru berkata kesudian Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mencemar duli melawat tapak kebakaran dan beramah mesra dengan semua mangsa pada 7 Ogos lepas menunjukkan sikap baginda yang amat prihatin dengan persekitaran dan mengambil berat tentang rakyat. 

“Melalui keprihatinan baginda, hari ini datang pula Majlis Jaksa Pendamai Kelantan susulan daripada lawatan Tuanku tempoh hari, untuk menyampaikan pula sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran di Kampung Dusun Muda di sini hari ini. 

Terdahulu, Presiden Majlis Jaksa Pendamai Kelantan Datuk Seri Zukri Samat menyerahkan sumbangan kepada tujuh keluarga yang terkesan dengan kebakaran yang berlaku pada bulan lepas. 

Dalam kejadian pukul 9 malam, 5 Ogos, tujuh keluarga membabitkan kira-kira 30 orang tinggal sehelai sepinggang apabila enam buah rumah dan sebuah rumah tumpangan musnah dalam kebakaran.

Abu Bakar berkata beliau juga berterima kasih kepada pemberi sumbangan yang tidak putus-putus membantu bukan sahaja dari segi wang ringgit malah juga keperluan asas yang lain.

“Saya kini menumpang di bengkel jahitan berhampiran kawasan kebakaran sementara menunggu rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dijanjikan oleh kerajaan negeri kepada mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Rozi Saibu, 45, berkata selepas rumah sewa yang didiaminya sejak tiga tahun lalu itu terbakar, beliau tidak mempunyai tempat tinggal lain dan terpaksa tinggal di dalam kereta mahupun masjid berhampiran.

"Beberapa hari lalu, saya ada juga mencari rumah sewa di sekitar Jalan Bayam dan masih lagi menunggu keputusan tuan rumah sebelum dibenarkan untuk menyewa. 

"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung untuk menyara kehidupan saya yang hanya mengambil upah mengurut orang kampung selain bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan," katanya. 

Sementara itu, Zukri berkata kedatangan pihaknya hari ini adalah susulan daripada lawatan Sultan Muhammad V tempoh hari yang telah menitahkan pihaknya supaya dapat membantu mangsa-mangsa kebakaran .

“Majlis Jaksa Pendamai Kelantan adalah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Tuanku dan dalam lawatan hari ini kami telah memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terlibat bagi membantu mereka,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel