Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Pahang tentu tarikh mula operasi bauksit


Tarikh kemaskini: 07/09/2019





TEMERLOH, 7 Sept -- Tarikh permulaan perlombongan bauksit beroperasi semula adalah tertakluk kepada kerajaan negeri Pahang, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) Dr Xavier Jayakumar. 

Beliau berkata KATS sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) baharu dalam perlombongan dan pengeksportan bauksit, yang wajib dipatuhi mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut. 

"Mereka yang ingin melibatkan diri dalam perlombongan bauksit boleh memohon lesen daripada kerajaan negeri dengan kelulusan adalah tertakluk kepada pematuhan SOP yang dibuat. 

"Jika semua operator boleh memenuhi SOP, mereka sudah boleh mula beroperasi apabila kerajaan negeri memutuskan perkara itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Gajah Sedunia 2019 di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di sini, hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri KATS Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Pengerusi Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) Datuk Feizal Mustapha.

Xavier juga menekankan aspek paling penting dalam perlombongan bauksit ialah pematuhan SOP yang sudah dimuktamadkan dengan kerajaan negeri Pahang bagi mengelakkan pencemaran akibat daripada aktiviti itu berulang. 

Perlombongan bauksit di Pahang, telah dihentikan sementara menerusi penguatkuasaan tempoh moratorium bermula 15 Jan 2016 ekoran aduan penduduk berhubung pencemaran selain bahaya daripada lori pengangkutan bauksit. 

Perlombongan bauksit didakwa menyebabkan beberapa daerah di Kuantan, disaluti debu merah sehingga mendapat jolokan 'Planet Marikh' selain pernah menyebabkan sungai dan perairan Kuantan menjadi merah.

Xavier, bagaimanapun menyatakan SOP baharu berkaitan bauksit telah dimuktamadkan dan berkuat kuasa serta merta selepas mengadakan perjumpaan khas dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di ibu negara pada Khamis lepas. 

-- BERNAMA 

 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel